SUBANG JAYA – Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON) mencatatkan prestasi jualan separuh pertama terbaiknya dalam tempoh 15 tahun selepas menyerahkan sebanyak 100,346 unit kenderaan bagi enam bulan pertama tahun 2026.
Pencapaian tersebut menandakan peningkatan sebanyak 39.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, sekali gus meletakkan syarikat di landasan separuh jalan untuk mencapai sasaran jualan keseluruhan sebanyak 200,000 unit bagi tahun ini. Bagi bulan Jun sahaja, PROTON merekodkan penyerahan sebanyak 16,052 unit kenderaan.
Pertumbuhan jualan ini didorong oleh permintaan pasaran terhadap rangkaian model enjin pembakaran dalaman (ICE) serta perkembangan bahagian kenderaan tenaga baharu (NEV) di bawah jenama Proton e.MAS.

Proton Saga kekal sebagai model pemacu utama syarikat dengan 7,000 unit dihantar pada bulan Jun, sekali gus membawa jumlah jualan tahunan setakat ini (YTD) kepada 44,375 unit, iaitu peningkatan sebanyak 40 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Basi model ICE yang lain, sedan C-segmen Proton S70 mencatatkan jualan sebanyak 2,307 unit pada bulan Jun dengan jumlah keseluruhan 12,832 unit bagi tahun ini. Proton X50 pula merekodkan jualan sebanyak 2,378 unit pada bulan Jun menjadikan jumlah YTD sebanyak 15,345 unit, manakala Proton X90 menyerahkan 388 unit pada bulan yang sama.
Sementara itu, segmen kenderaan tenaga baharu Proton e.MAS merekodkan penyerahan sebanyak 17,920 unit dalam tempoh enam bulan pertama 2026. Daripada jumlah tersebut, model elektrik (EV) Proton e.MAS 5 mencatatkan 1,436 unit pada bulan Jun dengan jumlah YTD sebanyak 10,793 unit.
Model Proton e.MAS 7 yang dikeluarkan di Tanjung Malim pula menyumbang sebanyak 659 unit pada bulan Jun, menjadikan jumlah kumulatifnya sebanyak 3,053 unit. Bagi varian hibrid plug-in, Proton e.MAS 7 PHEV merekodkan penyerahan sebanyak 1,138 unit pada bulan Jun dengan jumlah jualan keseluruhan sebanyak 4,074 unit sejak diperkenalkan pada Februari lepas.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa menyatakan bahawa pertumbuhan seimbang antara model ICE dan e.MAS memberikan keyakinan kepada syarikat untuk mencapai sasaran keseluruhan mereka bagi tahun ini.
Melangkah ke separuh kedua tahun 2026, PROTON merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi mengurangkan tempoh menunggu pelanggan, di samping membuat persiapan untuk memperkenalkan beberapa produk baharu dalam bulan-bulan mendatang.
