Kalau anda perhatikan industri automotif sejak setahun dua ini, ada satu benda pelik sedang berlaku. Pelancaran model elektrik (EV) yang dulunya agresif, tiba-tiba rasa macam hambar. Jenama-jenama gergasi dunia, yang membina empayar mereka atas ngauman enjin petrol, seolah-olah sedang memperlahankan rentak mereka.
Janji-janji manis tentang transisi penuh ke arah pemanduan hijau dalam masa terdekat nampaknya terpaksa ditangguhkan. Persoalannya, adakah ini taktik pasaran yang sengaja dibuat, atau industri sebenarnya sedang berhadapan dengan tembok realiti yang besar?
Bagi kita pembaca teknologi di Electronikar, ada satu perkara yang bermain di fikiran: perasaan memandu. Ada satu ketakutan tersembunyi dalam kalangan pencinta automotif tentang bagaimana peraturan emisi yang ketat ini akan memberi kesan kepada prestasi kenderaan masa depan.

Adakah motor elektrik pada model akan datang terpaksa ditala (tuned) untuk menjadi lebih lemau demi menjaga kecekapan tenaga? Adakah masa pecutan (acceleration time) yang kita gilakan pada jentera moden akan dikorbankan, menjadikan kereta masa depan terasa berat dan tidak lagi agresif semata-mata untuk memuaskan angka di atas kertas korporat? Ketegangan ini makin terasa, tetapi jawapan sebenar jarang sekali didedahkan secara terbuka.
Tetapi jawapan itu akhirnya keluar juga,dalm laporan tahunan ESG yang dikeluarkan oleh Honda.
Jika selama ini kita cuma berteka-teki, pengumuman rasmi Honda menuding terus kepada punca utama: mereka terpaksa menyusun semula portfolio rangkaian kuasa (powertrain) dan jadual pelancaran produk global disebabkan perubahan persekitaran perniagaan serta trend permintaan pasaran yang beralih drastik.
Dan ya, tekaan anda tentang situasi politik di Amerika Syarikat ada asasnya. Honda secara terbuka mengakui di dalam laporan strategi mereka bahawa pelarasan pasaran ini didorong kuat oleh pelonggaran peraturan bahan api fosil dan semakan semula insentif EV di AS. Ditambah pula dengan kos tarif AS yang baharu serta persaingan sengit dari China, impak geopolitik ini benar-benar mencengkam margin keuntungan mereka.
Akibat “brek” geopolitik dan pasaran ini, Honda telah mengambil langkah drastik dengan memotong sasaran pengurangan intensiti $CO_2$ produk mereka bagi tahun fiskal 2031 (sasaran 2030) sehingga separuh gila:
- Automobil: Sasaran pengurangan intensiti $CO_2$ dipotong daripada 27.2% kepada hanya 13.6%.
- Motosikal: Sasaran dipotong daripada 34.0% kepada 15.0%.
- Produk Kuasa: Dipotong daripada 28.2% kepada 13.4%.
Alih-alih memaksa jualan unit EV tulen yang permintaannya sedang merosot, Honda menukar strategi pengurusan mereka dengan mengalih pelaburan bernilai sekitar 0.8 trilion yen daripada pembangunan EV kepada mematangkan sistem hibrid generasi baharu mereka.
Fokus kini diletakkan kepada pengurangan emisi sepanjang kitaran hayat produk (lifecycle). Mereka memilih untuk membersihkan proses pembuatan dahulu—seperti kilang Saitama yang kini beroperasi secara neutral karbon—dan menukar logistik pengangkutan komponen elektrik (IPU) daripada trak kepada kereta api untuk memotong jejak karbon sebanyak 75% sebelum kereta itu sampai ke jalan raya.
Jadi, realitinya bukan kerana teknologi elektrik kita gagal, tetapi keadaan ekonomi, dasar tarif, dan kesediaan pembeli telah memaksa jenama tradisional seperti Honda menekan brek. Bagi kita, ini bermakna era hibrid (seperti e:HEV) akan bernafas lebih panjang, manakala EV berprestasi tinggi yang kita nantikan mungkin akan mengambil masa yang lebih lama untuk tiba di pasaran tempatan.
