Angan-Angan Bateri Solid-State EV: CATL Sahkan Mustahil Sedia Sebelum 2030

Ramai peminat EV sedang impikan Teknologi bateri pejal sebagai lonjakan teknologi seterusnya tetapi nampaknya kita kena letak tepi dulu mimpi tersebut kerana teknologi ini tak dapat dihasilkan dengan mudah dan murah sebelum 2030.

Walaupun teknologi ini dicanang sebagai revolusi yang bakal mengubah jarak pemanduan dan kelajuan mengecas, realitinya ia masih jauh daripada sedia. Perkara ini disahkan sendiri oleh Dr. Robin Zeng, Pengerusi CATL—gergasi pengeluar bateri terbesar di dunia—yang memberikan reality check paling jujur tentang masa depan teknologi ini.

Menurut beliau, komersialisasi berskala besar untuk bateri solid-state sepenuhnya tidak akan berlaku sebelum tahun 2030. Bagi CATL, pengeluaran skala besar hanya dikira berjaya jika ia mampu menampung satu juta kenderaan setahun, satu angka yang mustahil dicapai oleh industri sebelum penghujung dekad ini.

Sebab utama kenapa bateri ini lambat mendarat di jalan raya adalah kerana kekangan teknologi. CATL meletakkan teknologi solid-state penuh mereka sekadar pada Tahap 4 daripada sembilan skala Ketersediaan Teknologi (TRL). Ringkasnya, ia masih terperangkap di dalam makmal dan fasa prototaip awal, bukannya di kilang pengeluaran.

Walaupun sasaran pengeluaran rintis berskala kecil ditetapkan pada tahun 2027, kos pembikinan pula menjadi batu penghalang yang sangat besar. Bateri solid-state berasaskan sulfida semasa menelan belanja tiga hingga lima kali ganda lebih mahal berbanding sel litium-ion biasa.

Kalau sebuah EV keluarga ditukar kepada pek bateri 70 kWh jenis ini, harganya akan melonjak naik lebih 80,000 yuan (sekitar $11,000). Disebabkan kos tidak masuk akal ini, CATL mengesahkan penggunaan awal teknologi ini hanya akan dihadkan untuk kereta premium berharga melebihi 250,000 yuan ($36,920).

Sementara pasaran terus hanyut dengan janji manis solid-state, bateri cecair konvensional sebenarnya kekal menjadi nadi utama yang menggerakkan revolusi EV hari ini.

Data kapasiti terpasang CATL sendiri membuktikannya apabila volum pengeluaran melonjak daripada 29.06 GWh pada April 2026 kepada 33.08 GWh pada Mei 2026. Menariknya, pasaran didominasi secara mutlak oleh bateri jenis LFP dengan pegangan sebanyak 81.2 peratus, manakala teknologi ternary sekadar meraih 18.8 peratus.

Firma penganalisis Bain & Company turut menjangkakan bateri litium-ion cecair ini akan terus kekal dominan untuk tempoh yang lama, manakala teknologi baharu seperti solid-state dan natrium-ion dijangka sekadar mencatat pegangan pasaran satu digit sahaja sehingga tahun 2030.

Bagaimanapun, perkembangan industri tidaklah suram sepenuhnya.

Ketika CATL melabur berbilion ringgit dalam penyelidikan sulfida, pengeluar milik kerajaan China, Dongfeng Motor, mengambil langkah lebih pragmatik dengan memajukan sel komposit oksida-polimer yang dijadualkan masuk ke pasaran pada separuh kedua tahun 2026.

Pek bateri proprietari ini mampu mencapai ketumpatan tenaga 350 Wh/kg yang menyokong jarak pemanduan melebihi 1,000 km, di samping mengurangkan berat pek sebanyak 30 peratus berbanding litium cecair konvensional.

Pada masa yang sama, industri aeroangkasa dilihat bergerak jauh lebih pantas mendahului industri automotif.

Syarikat seperti Ehang sudah pun berjaya menyepadukan bateri solid-state litium-logam berspesifikasi tinggi (480 Wh/kg) daripada Shenzhen Neox untuk menguasakan kenderaan udara tanpa pemandu mereka menyeberangi Selat Qiongzhou.

Sektor penerbangan tidak berdepan masalah besar di sini kerana mereka mempunyai keupayaan untuk menyerap kos teknologi yang tinggi walaupun pada jumlah pengeluaran yang rendah.

Melalui siri artikel seterusnya, kita akan mengupas dengan lebih mendalam tentang isu teknikal pengeluaran, jurang pasaran dua darjat, strategi alternatif Dongfeng, dan realiti sebenar angka pengeluaran bateri cecair semasa.

Apa Yang Bakal Kami Kupas Dalam Siri Ini

Melalui lima artikel seterusnya, yang akan dikeluarkan setiap hari kami akan membongkar setiap sudut landskap teknologi yang rumit ini:

  • [Artikel 2: Isu Had Pengilangan] — Kenapa tekanan tinggi 6,000 atmosfera masih belum mencukupi
  • [Artikel 3: Pasaran EV Dua Darjat] — Berapa lama jurang pemisah antara segmen premium dan pasaran massa akan bertahan
  • [Artikel 4: Alternatif Golongan Pragmatik] — Sebab utama Dongfeng memilih untuk ambil laluan alternatif daripada kegilaan teknologi solid-state
  • [Artikel 5: Loncatan Sektor Aeroangkasa] — Apa yang industri automotif boleh belajar daripada dunia penerbangan
  • [Artikel 6: Realiti Di Sebalik Mimpi] — LFP, ternary, dan dominasi mutlak bateri jenis cecair dalam pasaran semasa

Leave a Reply