Selama ini, kadar premium insurans kereta kita di Malaysia banyak ditentukan oleh faktor standard seperti umur kenderaan, model, lokasi, dan potongan Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD). Namun, satu mekanisme baharu dinamakan RAPC (Risk Adjusted Premium Computation) bakal mengubah landskap tersebut menerusi inisiatif Cermat Madani.
Sistem ini merupakan model berasaskan data terperinci yang akan menentukan harga premium insurans berdasarkan tahap risiko sebenar diri korang sebagai pemandu, bukannya bersandarkan faktor kenderaan semata-mata.
Bagaimana RAPC Menilai Risiko Korang?
Untuk membina satu profil risiko yang tepat bagi setiap pemandu, sistem RAPC mengintegrasikan data daripada tiga pihak utama iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Insurance Services Malaysia (ISM), dan syarikat insurans itu sendiri.

Antara rekod yang akan disemak dan dinilai di bawah rangka kerja ini termasuklah:
- Rekod lesen memandu korang.
- Rekod kenderaan.
- Sejarah saman trafik.
- Rekod kemalangan jalan raya.
- Sejarah tuntutan insurans terdahulu.
- Jenis serta corak penggunaan kenderaan korang.
Untuk peringkat pelancaran yang dirancang ini, data yang digunakan adalah gabungan daripada rekod JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Saman-saman yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti majlis perbandaran tidak diambil kira buat masa sekarang.

Berapa Banyak Boleh Jimat? (Maksimum Penjimatan)
Bagi pemandu yang berhemah, khabar angin sebelum ini terjawab secara rasmi oleh Kementerian Pengangkutan. Di bawah inisiatif Cermat Madani, pemandu kategori risiko rendah yang mempunyai skor keselamatan tinggi berpeluang menikmati rebat insurans tambahan sehingga 10%.
Menariknya, rebat ekstra ini akan diletakkan (layered) di atas potongan NCD maksimum sedia ada iaitu 55%. Ini bermakna, jumlah penjimatan maksimum yang boleh dicapai adalah sehingga 65%! Malah, penilaian risiko berasaskan AI juga berpotensi untuk menurunkan kadar premium asas (base premium) bagi mereka yang mempunyai rekod pemanduan yang cemerlang.
Kalau Memandu Macam ‘Hantu’, Berapa Mahal Kena Bayar?
Ini bahagian yang paling adil tapi menakutkan bagi segelintir orang. Di bawah logik genuine risk-based pricing, sistem ini tidak menawarkan diskaun automatik untuk semua orang. Premium insurans korang boleh bergerak dua hala—ia boleh jadi murah, tapi ia juga boleh melambung tinggi.
Syarikat insurans kini diberi kebebasan untuk mengenakan premium yang lebih mahal kepada pemandu risiko tinggi—iaitu mereka yang mempunyai lambakan saman tertunggak, sejarah kemalangan yang buruk, kerap membuat tuntutan insurans, atau nama sudah tersangkut dalam senarai hitam JPJ.
Walaupun tiada ‘siling’ tetap atau angka mutlak yang dinyatakan tentang berapa ratus peratus premium boleh meningkat (kerana ia bergantung kepada penilaian algoritma syarikat insurans masing-masing), struktur liberalisasi insurans ini membolehkan syarikat insurans menaikkan harga premium asas dengan ketara sekiranya profil risiko korang dianggap terlalu berbahaya untuk ditanggung. Ringkasnya, korang memandu buruk, korang bayar harga ‘keras’.

Bukan Benda Baharu: Persamaan Dengan Negara Luar dan ASEAN
Sebenarnya, sistem perkiraan insurans berasaskan risiko sebegini bukanlah benda asing di peringkat global. Model ini sudah lama menjadi standard industri di negara maju seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS). Di sana, syarikat insurans memang melihat rekod kesalahan trafik (traffic violations) dan mata demerit pada lesen pemandu secara langsung sebelum menetapkan harga.
Malah di rantau ASEAN, jiran kita Singapura juga sudah mengamalkan penentuan harga berasaskan profil risiko pemandu secara menyeluruh. Di Singapura, sejarah tuntutan peribadi, pengalaman memandu, serta rekod kesalahan jalan raya menyumbang secara terus kepada turun naik premium, tidak hanya bergantung pada potongan NCD semata-mata.
Selain itu, negara seperti Thailand kini sedang rancak beralih ke arah model berasaskan data dengan memanfaatkan teknologi telematik untuk memantau tabiat pemanduan dalam pasaran insurans mereka.
Masa Depan: Penilaian Real-Time Guna Telematik
Sistem di Malaysia juga tidak akan berhenti di fasa semakan rekod statik sahaja. Pada masa hadapan, ada kemungkinan para pemandu di negara kita akan dinilai berdasarkan data pemanduan sebenar secara real-time dengan menggunakan teknologi telematik.
Sama seperti yang mula popular di beberapa pasaran dunia, ini bermakna cara korang menekan pedal minyak, membanting stereng, membrek mengejut, serta jarak pemanduan setiap hari akan dipantau secara digital. Semua data tingkah laku ini akan disuap terus ke dalam sistem untuk menentukan jumlah ringgit yang korang perlu bayar apabila memperbaharui insurans kenderaan nanti.




