Zeekr 8X Dilancarkan: SUV Hibrid Terpantas Dunia Dengan Pecutan 0-100km/j Bawah 3 Saat

KUALA LUMPUR – Zeekr secara rasmi memperkenalkan model mercu terbaharunya, Zeekr 8X, sebuah SUV hibrid berprestasi tinggi yang menggabungkan kuasa luar biasa dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) tahap tinggi.

Pelancaran ini merupakan gambaran jelas hala tuju Zeekr untuk mendominasi segmen SUV mewah dengan mencabar tanggapan bahawa kenderaan hibrid tidak setangkas kenderaan elektrik sepenuhnya (BEV).

Zeekr 8X Dibina di atas tapak SEA-S dan Sistem Hibrid Super Electric Power (SEP) yang menawarkan pecutan luar biasa. Bezaan Flagship Edition dengan tiga motor mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 2.96 saat, menjadikannya SUV hibrid terpantas di dunia setakat ini.

Manakala penggunaan seni bina voltan tinggi 900V memastikan penyampaian kuasa yang konsisten pada semua julat kelajuan dan kawalan yang lebih stabil melalui Haohan AI Digital Chassis.

Zeekr 8X cuba memecahkan tradisi di mana kereta berprestasi tinggi biasanya mengabaikan keselesaan. Sebagai SUV lima tempat duduk, ia menawarkan ruang kabin yang setanding dengan MPV. Antara ciri kemewahan yang disertakan ialah kerusi inspirasi Eames Lounge Chair serta sistem audio eksklusif daripada Naim—satu-satunya aplikasi sistem audio tersebut dalam dunia automotif buat masa ini.

Satu lagi anjakan realiti yang dibawa oleh Zeekr ialah integrasi sistem kecerdasan buatan yang menggabungkan kawalan kabin dan pemanduan. Pembantu suara kini berevolusi kepada Super Eva yang berasaskan World Action Model (WAM).

Ia bukan sekadar pembantu suara biasa, tetapi bertindak sebagai pusat kawalan pintar yang bersepadu terus dengan sistem bantuan pemandu G-ASD 4.0, casis, dan rangkaian kuasa. Ini antara usaha awal memberikan AI kawalan keatas fungsi teknikal kenderaan secara menyeluruh.

Dengan harga bermula dari sekitar RM235k ke RM330k di China, Zeekr 8X jelas tidak lagi bersaing hanya atas dasar harga tetapi bertarung melalui prestasi, spesifikasi, rekabentuk dan imej.

Keputusan Zeekr untuk terus mempertaruhkan sistem hibrid berprestasi tinggi menunjukkan bahawa mereka sedang melakukan penyelarasan semula strategi untuk menarik minat pembeli yang mahukan kuasa elektrik tanpa kerisauan jarak perjalanan (range anxiety). Adakah teknologi sehebat ini akan menjadi kadar lazim dalam segmen SUV mewah di Malaysia tidak lama lagi? Kita tunggu kemasukan rasmi jenama ini ke pasaran tempatan.

Leave a comment