PETALING JAYA – Sime Motors secara rasmi menutup tirai kempen ulang tahun ke-45 mereka dengan menyerahkan hadiah utama berupa sebuah BMW 2 Series Gran Coupé kepada pemenangnya, Muhamad Bukhari Bin Muhamad Shukor.

Majlis penyerahan kunci tersebut menandakan berakhirnya kempen besar-besaran yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM400,000, melibatkan 44 pemenang dari seluruh negara sepanjang tempoh program berlangsung.
Menariknya, Muhamad Bukhari merupakan pelanggan dari cawangan kenderaan terpakai, Sime Darby Auto Selection Ara Damansara. Kemenangan ini menjadi bukti nyata bahawa tuah tidak hanya terhad kepada pembeli kereta baharu, malah merangkumi keseluruhan ekosistem perkhidmatan Sime Motors.

Selain hadiah utama, tiga lagi pelanggan bertuah iaitu Chia Sin Ye, Melinda Yap Sook Phin, dan Alethia Ngo Bei Er turut diumumkan sebagai pemenang hadiah saguhati dalam majlis yang sama.
Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors, menyatakan bahawa kempen ini adalah gambaran jelas penghargaan syarikat terhadap kepercayaan pelanggan sepanjang 45 tahun beroperasi di Malaysia.


