Di Luar Jangkaan: BYD Pilih Shark 6 Untuk CKD di Inokom, MITI Mahu Lebih Tumpuan Kepada Komponen Tempatan dan Jadikan Malaysia Pusat Eksport

Dalam satu langkah yang di luar jangkaan ramai pemerhati industri automotif tempatan, BYD Malaysia bersama rakan pengedarnya, Sime Motors, hari ini mengumumkan bahawa trak pikap hibrid plug-in (PHEV) pacuan empat roda, BYD Shark 6, dipilih sebagai model pemasangan tempatan (CKD) pertama jenama itu di Malaysia.

Pemasangan model tersebut akan dijalankan di kemudahan milik Sime Motors, Inokom Corporation (Inokom) di Kulim, Kedah, sekaligus menandakan permulaan fasa baharu pengoperasian tempatan BYD selepas jenama itu membatalkan rancangan asal untuk membina kilang pemasangan kendiri di Tanjung Malim sebelum ini.

Mengapa Shark 6 Satu Kejutan?

Sejak memasuki pasaran tempatan pada penghujung 2022 melalui model elektrik penuh (BEV) seperti Atto 3, Dolphin,Seal, M6 dan Sealion 7 — dengan rekod pendaftaran kumulatif melebihi 35,900 unit di Malaysia — ramai menjangkakan BYD akan memulakan operasi CKD mereka menerusi SUV atau kereta penumpang elektrik sedia ada.

Sebaliknya, BYD memilih untuk membuka tirai CKD di Inokom dengan memasuki segmen baharu iaitu trak pikap 4×4 melalui Shark 6 yang mula dipamerkan di negara ini sejak 2025. Menurut BYD Malaysia, pemilihan itu didorong oleh maklum balas serta minat kukuh pengguna tempatan sejak ia diperkenalkan, selain membuka peluang membawa teknologi elektrifikasi BYD ke kategori kenderaan yang berbeza.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma dalam ucapannya menegaskan bahawa pemilihan Inokom disandarkan kepada keupayaan sedia ada kilang tersebut, tenaga kerja mahir yang berpengalaman, serta rantaian bekalan tempatan yang kukuh. Beliau turut memberi bayangan bahawa Shark 6 hanyalah permulaan dan lebih banyak model akan menyusul selepas ini, di samping menegaskan komitmen berterusan mereka terhadap pembangunan teknologi Flash Charging di Malaysia.

Keupayaan Inokom & Pelaburan Segar RM300 Juta

Dari sudut operasi pembuatan, Pengarah Urusan Sime Motors Asia Tenggara, Jeffrey Gan berkongsi perincian mengenai kesiapsiagaan fasiliti Inokom yang beroperasi menerusi konsep plant within plant di kawasan seluas 200 ekar di Kulim.

Ditubuhkan pada 1992 dan memulakan pengeluaran pertamanya pada 1997, Inokom kini digerakkan oleh 2,381 kakitangan yang terdiri daripada 100 peratus warga tempatan dengan keupayaan memasang kenderaan penumpang,kenderaan pelbagai guna (MPV) serta kenderaan komersial. Fasiliti ini mempunyai kapasiti mengecat sehingga 80,000 badan kenderaan setahun, diperkukuh oleh pelaburan baharu bernilai RM300 juta bagi menaik taraf bengkel cat (paint shop) yang kini dilengkapi 32 robot cat dan sealant, menyokong 27 pilihan warna dengan keupayaan penukaran warna pantas dalam masa 10 saat.

Kerjasama pemasangan ini turut disokong oleh ekosistem jualan dan selepas jualan yang dibangunkan kedua-dua pihak,merangkumi 48 cawangan BYD, lapan cawangan Denza, pusat latihan BYD Academy, program kenderaan terpakai bertauliah (Certified Used), pusat pemeriksaan pra-penghantaran (PDI) serta pusat alat ganti.

Mesej Tegas MITI: Lokalisasi Efektif, Kurangkan Import & Hab Eksport ASEAN

Majlis pemeteraian dan perasmian permulaan pemasangan tempatan itu turut disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bersama barisan kepimpinan tertinggi MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dalam ucapannya yang menyentuh perbincangan semasa mengenai keterbukaan pasaran dan daya saing industri — termasuk isu dibangkitkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) — Datuk Seri Johari menegaskan bahawa ekosistem automotif negara yang dibina sejak berdekad lamanya menyumbang RM84 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 serta menyokong lebih 700,000 tenaga kerja. Justeru, kemasukan pelabur asing mesti bersifat saling melengkapi dan berkongsi teknologi tanpa menjejaskan kelangsungan ekosistem tempatan sedia ada.

Beliau turut mendedahkan data membimbangkan mengenai kebergantungan import komponen negara yang melonjak daripada RM13 bilion pada 2020 kepada RM33 bilion pada 2025. Sehubungan itu, MITI mahu pelaburan pemasangan tempatan seperti kerjasama BYD dan Sime Motors dimanfaatkan untuk mengurangkan import komponen secara berperingkat dengan memperkasakan vendor tempatan, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai pusat eksport komponen bagi rantau ASEAN.

Bagi merealisasikan matlamat itu, Datuk Seri Johari memaklumkan bahawa kerajaan sedang merangka mekanisme insentif baharu yang memberi penekanan lebih ketat terhadap lokalisasi efektif berasaskan proses — berbeza daripada pendekatan lama yang hanya menyemak status selepas tempoh empat tahun — serta memperkenalkan definisi baharu bagi pembekal Tier 1, Tier 2 dan Tier 3. Di bawah pendekatan baharu ini, penglibatan industri tempatan perlu melangkaui aktiviti pemasangan asas semata-mata dan bergerak ke rantaian nilai lebih tinggi merangkumi reka bentuk produk,pembuatan jitu (precision manufacturing) serta integrasi komponen.

Jimat 3.5 Tahun Melalui Inokom & Flash Charging ke KLIA

Mengulas keputusan BYD memanfaatkan fasiliti Inokom di Kulim berbanding membina kilang baharu dari awal, Datuk Seri Johari menyifatkan langkah itu membuktikan daya tarikan infrastruktur automotif sedia ada negara, memandangkan pembinaan fasiliti baharu dari kosong lazimnya mengambil masa sekurang-kurangnya 3.5 tahun sebelum dapat beroperasi.

Selain aspek pembuatan, Menteri MITI itu turut menyentuh keperluan memperluas rangkaian pengecasan ultra-pantas bagi mengatasi kebimbangan jarak pemanduan (range anxiety) dan memendekkan masa mengecas agar setanding pengisian bahan api kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE). Beliau mendedahkan telah mengadakan perbincangan bersama pihak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Gentari untuk menempatkan kemudahan Flash Charging di laluan menuju ke KLIA serta di kawasan lapangan terbang berkenaan.

Buat masa ini, BYD Malaysia dan Sime Motors memaklumkan perincian lanjut mengenai garis masa pengeluaran komersial, spesifikasi akhir serta struktur harga bagi BYD Shark 6 pemasangan tempatan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Leave a Reply