Setelah sekian lama model Tiguan dan Tiguan Allspace meperjuangkan segment SUV keluarga untuk Volkswagen, kini pengganti yang lama didnantikan sudah tibe, Volkswagen Tayron kini dilancarkan di Malaysia sebagai SUV tujuh tempat duduk yang dipasang secara tempatan.
Segmen ini sekarang agak panas dengan beberapa model dari China turut mencari pembeli tetapi Volkswagen telah memberikan Tayron beberapa ciri menarik, termasuk saiz lebih besar yang mampu menarik minat pembeli keluarga yang pentingkan ruang kabin.

Menurut Volkswagen, nama Tayron adalah gabungan antara Tiger dan Iron, melambangkan kegarangan dan kekuatan.
Buat masa sekarang Volkswagen hnaya melancarkan varian Elegan, manakala Varian prestasi tinggi R-Line akan dilancarkan selepas ini.
Rekabentuk luar
Rekabentuk Tayron dikatakan lebih kontemporari. Pada mata saya rekabentuk ini lebih mirip kepada gaya siri kenderaan elektrik ID mereka yang lebih lembut dan kemas secara aerodinamik, terutama pada muka depan.
Ini satu anjakan dari gaya teratur dan dan sasa yang kita lihat pada model Tiguan sebelum ini.

Tayron mempunyai panjang 4,792 mm dan ada sedikit perbezaan dari segi lebar antara dua varian. Varian Elegance selebar 1,853 mm dan R-Line 1,866 mm mungkin untuk memuatkan tayar dan track yang lebih lebar sistem pacuan 4-motion.
Tinggi Elegance ialah 1,668 mm manakala R-Line rendah sedikit pada 1,666 mm. Jarak gandar Elegance ialah 2,788 mm dan R-Line 2,790 mm. Kami rasa perbezaan ini juga untuk memuatkan sistem pacuan 4-motion.
Elegance diberi roda aloi 18-inci ‘Napoli’ dan lampu LED Plus manakal R-Line menggunakan roda aloi 20-inci ‘York’ dan lampu IQ.LIGHT HD Matrix.


Kedua-duanya mempunyai logo bercahaya dan jalur cahaya bersambung di depan dan belakang. Pilihan warna termasuk Oryx White, Reflex Silver, Deep Black, Atlantic Blue, dan Kings Red.
Untuk belakang barisan cahaya dan pencahayaan logo berwarna merah.
Chassis and Powertrain
Varian Elegance dikuasakan enjin 1.5L empat silinder turbo dengan sistem mild-hybrid 48-volt. Ia menggunakan pengecas turbo VTG untuk mengoptimumkan tekanan boost pada pelbagai putaran enjin.
Sistem Active Cylinder Management (ACTplus) menyahaktifkan dua silinder semasa beban rendah bagi menjimatkan bahan api. Motor 48-volt membantu pecutan dan membolehkan coasting dengan enjin mati sepenuhnya.

Ia menghasilkan 150 PS dan 250 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi DSG 7-kelajuan basah DQ381.
Varian R-Line menggunakan enjin 2.0L empat silinder turbo dengan kitaran pembakaran Miller. Ia mencapai nisbah mampatan tinggi untuk kecekapan haba dan kuasa yang lebih baik.
Pengecas turbo berkapasiti tinggi dibina untuk membekalkan tork puncak seawal putaran rendah. Ia menghasilkan 265 PS dan 400 Nm tork.
Sistem 4MOTION menggunakan klac berbilang plat elektro-hidraulik. Ia memantau gelinciran secara milisaat untuk mengagihkan tork antara gandar secara proaktif bagi cengkaman maksimum.
Ciri Kabin
Ruangan dalaman menampilkan Digital Cockpit Pro 10.25-inci. Elegance mempunyai skrin MIB4 12.9-inci, manakala R-Line menggunakan skrin 15-inci dengan menu baharu.
Kedua-dua skrin mempunyai slaid sentuh bercahaya. Sistem audio Harman Kardon pada R-Line menawarkan 700 watt kuasa melalui 16 saluran penguat digital.


Kerusi hadapan Volkswagen Tayron, yang digelar sebagai kerusi ErgoActive, menggunakan balutan kulit ‘Varenna’ berkualiti tinggi dengan tumpuan utama kepada sokongan ergonomik untuk perjalanan jauh.
Kedua-dua kerusi ini dilengkapi dengan sistem pelarasan elektrik penuh yang membolehkan pengguna mengubah posisi duduk dengan tepat, termasuk sokongan lumbar empat arah yang boleh dilaraskan bagi menyokong struktur tulang belakang pemandu dan penumpang.
Ciri teknikal yang paling ketara ialah sistem urutan pneumatik bersepadu yang menggunakan sepuluh beg udara kecil di dalam kusyen.
Beg-beg udara ini berfungsi secara bebas dan berurutan untuk memberikan kesan urutan otot yang terapeutik, dengan sepuluh program urutan berbeza yang boleh dipilih terus melalui skrin infohibur untuk membantu mengurangkan keletihan otot semasa pemanduan jarak jauh.
Dari aspek pengurusan suhu, kerusi ini dilengkapi dengan sistem pengudaraan aktif yang menggunakan kipas mikro di dalam kusyen untuk mengalirkan udara melalui liang kulit, sekali gus menyejukkan badan pemandu dalam cuaca panas.

Bagi iklim sejuk, fungsi pemanas kerusi tersedia dan dikawal secara automatik oleh sistem pendingin hawa tiga zon kenderaan untuk mengekalkan suhu keselesaan yang konsisten.
Selain itu, kerusi pemandu turut menyertakan fungsi memori yang menyimpan tetapan kedudukan kerusi, ianya dihubungkan dengan beberapa tetapan lain seperti sudut cermin sisi dan paparan Head-up Display untuk memudahkan pertukaran pemandu tanpa perlu menetapkan semula konfigurasi kabin secara manual.
Sistem pendingin hawa tiga zon pada Volkswagen Tayron direka untuk memberikan kawalan suhu yang diperibadikan secara bebas bagi pemandu, penumpang hadapan, serta penumpang di barisan belakang.
Setiap zon dilengkapi dengan sensor suhu dan aliran udara khusus, membolehkan penumpang di bahagian belakang menetapkan suhu mereka sendiri melalui panel kawalan digital yang berasingan, sekali gus menyelesaikan isu perbezaan keperluan keselesaan di dalam kabin yang besar.

Kecekapan sistem ini disokong oleh sensor kualiti udara automatik yang memantau tahap pencemaran, kelembapan, dan komposisi gas di luar kenderaan secara berterusan.
Apabila sensor mengesan kualiti udara luaran yang rendah, sistem akan mengaktifkan mod kitaran semula udara secara automatik serta menggunakan penapis karbon aktif untuk menghalang habuk, debu halus, dan bau tidak menyenangkan daripada memasuki ruang kabin.
Sistem ini turut disepadukan dengan pengesan kekuatan cahaya matahari yang melaraskan kelajuan kipas dan suhu hembusan udara secara proaktif berdasarkan kedudukan matahari dan suhu permukaan dalaman kenderaan.
Selain itu, fungsi pemanasan dan pengudaraan kerusi ErgoActive turut dikawal secara pintar oleh modul pendingin hawa ini, memastikan suhu permukaan kerusi diselaraskan secara optimum dengan suhu udara dalam kabin untuk mencapai tahap keselesaan haba yang stabil bagi semua penumpang.P

Volkswagen Tayron direka dengan fokus kepada fleksibiliti ruang kargo bagi memenuhi keperluan pengguna SUV keluarga.
Kapasiti ruang simpanan utama adalah sebesar 345 liter apabila semua tujuh tempat duduk digunakan. Apabila tempat duduk baris ketiga dilipat rata ke lantai, kapasiti ruang kargo meningkat dengan ketara kepada 1,905 liter, menyediakan permukaan lantai yang rata sepenuhnya untuk memudahkan pemuatan barangan bersaiz besar atau panjang.
Akses kepada ruang kargo dipertingkatkan dengan ciri pintu but elektrik yang dilengkapi fungsi tangan bebas, membolehkan pengguna membuka atau menutup pintu belakang secara automatik hanya dengan melakukan gerakan tendangan ringan di bawah bampar belakang.

Sistem ini amat praktikal terutamanya apabila pengguna membawa barangan atau beg membeli-belah. Selain itu, konfigurasi dalaman turut mengambil kira aspek kemudahan penggunaan harian, termasuk titik pengikat kargo yang kukuh bagi memastikan keselamatan barang semasa kenderaan bergerak, serta ruang penyimpanan tambahan yang tersembunyi di bawah lantai kargo untuk menyimpan peralatan kecemasan atau barangan peribadi kecil.
Driver Assistance
Keira dua varian Tayron dilengkapi Sistem IQ.DRIVE yang merupakan rangkaian teknologi bantuan pemandu dan keselamatan yang komprehensif daripada Volkswagen. Sistem ini direka untuk meningkatkan kemudahan serta ketenangan minda semasa pemanduan.
Binaak sistem ini bergantung kepada penyatian rangkaian pengesan yang terdiri daripada radar hadapan dan belakang, sensor ultrasonik di sekeliling kenderaan, serta kamera resolusi tinggi yang menghadap ke hadapan.
Data daripada semua pengesan disatukan dan diproses oleh unit pemprosesan pusat (CPU) yang menjalankan algoritma masa nyata untuk memantau persekitaran kenderaan dan mengenal pasti potensi risiko atau halangan di jalan raya.

Antara komponen utama sistem ini ialah Travel Assist, yang menawarkan tahap bantuan pemanduan separa automatik dengan menggabungkan Adaptive Cruise Control (ACC) dan Lane Assist.
ACC berfungsi melaraskan kelajuan kenderaan secara automatik bagi mengekalkan jarak selamat daripada kenderaan di hadapan, termasuk keupayaan untuk berhenti sepenuhnya dalam trafik sesak dan bergerak semula. Lane Assist pula menggunakan input kamera untuk mengesan penanda lorong dan memberikan pembetulan stereng yang lembut sekiranya kenderaan mula terkeluar dari lorong tanpa isyarat, memastikan kenderaan kekal berada di tengah lorong.
Selain itu, sistem ini dilengkapi dengan Front Assist yang bertindak sebagai sistem brek kecemasan autonomi dengan keupayaan pengesanan pejalan kaki dan penunggang basikal. Jika sistem mengesan risiko perlanggaran yang tidak dapat dielakkan, ia akan memberi amaran visual dan audio kepada pemandu sebelum meningkatkan tekanan brek secara automatik bagi mengurangkan kesan impak.
Side Assist atau Active Blind Spot Monitor pula menggunakan radar untuk mengesan kenderaan yang berada di titik buta, di mana sistem akan memberikan amaran melalui lampu pada cermin sisi dan mampu memberikan bantuan stereng pembetulan jika pemandu cuba menukar lorong semasa terdapat bahaya.

Ciri keselamatan lain yang disertakan adalah Rear Traffic Alert yang memantau trafik lintasan belakang semasa mengundur, serta Emergency Assist yang memantau aktiviti pemandu.
Jika sistem mengesan pemandu tidak lagi responsif atau tiada input pada stereng selepas beberapa amaran, kenderaan akan cuba memberikan amaran lanjut dan, sebagai langkah terakhir, membawa kenderaan berhenti secara terkawal dalam lorongnya sendiri sambil mengaktifkan lampu kecemasan.
Keseluruhan sistem ini berfungsi sebagai sokongan pintar untuk membantu pemandu dalam situasi rutin harian, namun ia tetap memerlukan pengawasan aktif daripada pemandu pada setiap masa.
Yang uniknya Varian R-line dilengkapi lampu IQ.LIGHT HD Matrix, teknologi pencahayaan terkini Volkswagen. Ia dilengkapi 19,200 unit micro-LED pada setiap unit lampu hadapan.
Unit-unit ini membolehkan kawalan pancaran cahaya yang sangat tepat sambil tidak menyilaukan pemandu dari arah bertentangan mahupun pemandu di depan kita semasa mod suluhan tinggi diaktifkan.

Sistem ini menggunakan kamera hadapan untuk mengesan kenderaan lain. Ia akan memadamkan segmen LED tertentu secara dinamik untuk mengelakkan silau kepada pemandu lain.
Lampu ini turut menyertakan fungsi Dynamic Cornering Light. Ia memusingkan pancaran cahaya ke arah selekoh sebelum stereng diputar untuk meningkatkan jarak penglihatan pemandu.
Selain itu, terdapat ciri Lane Light yang memancarkan jalur cahaya terang pada lorong sendiri. Ia membantu pemandu kekal fokus pada laluan semasa memandu di lebuh raya. Saya sangat suka ciri ini.
Sistem ini juga mempunyai mod cuaca buruk. Ia mengurangkan pantulan cahaya pada permukaan jalan yang basah untuk mengurangkan risiko keletihan mata pemandu.
Keselamatan
Volkswagen Tayron telah dianugerahkan penarafan keselamatan lima bintang oleh Euro NCAP, mencerminkan standard perlindungan yang tinggi bagi semua penumpang.
Pencapaian ini berdasarkan prestasi cemerlang kenderaan dalam empat kriteria penilaian utama iaitu perlindungan penumpang dewasa, perlindungan penumpang kanak-kanak, perlindungan pengguna jalan raya yang rentan, serta keberkesanan sistem bantuan keselamatan.
Struktur badan kenderaan ini direka dengan keupayaan menyerap tenaga impak yang sangat baik, di mana kabin penumpang kekal stabil dalam ujian impak depan dan sisi.

Ujian tersebut menunjukkan perlindungan yang optimum bagi bahagian kritikal badan pemandu dan penumpang, termasuk bagi kanak-kanak yang menggunakan sistem kerusi keselamatan yang sesuai. Kerusi hadapan dan penyandar kepala juga terbukti berkesan dalam meminimumkan risiko kecederaan leher atau whiplash sekiranya berlaku perlanggaran dari arah belakang.
Keselamatan diperkukuh lagi dengan kehadiran sembilan beg udara sebagai standard, termasuk beg udara tengah yang direka khusus untuk mengurangkan risiko perlanggaran antara penumpang semasa impak sisi.
Sistem bantuan pemandu yang canggih turut menyumbang kepada penarafan ini, merangkumi sistem brek kecemasan autonomi yang mampu mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, serta teknologi Lane Assist dan Side Assist yang membantu mengelakkan kemalangan sebelum ia berlaku.
Ciri keselamatan pasif dan aktif lain yang melengkapkan pakej ini termasuk sistem Automatic Post-Collision Brakingyang mengurangkan risiko impak sekunder selepas kemalangan pertama, serta sistem panggilan kecemasan eCall yang secara automatik menghubungi perkhidmatan penyelamat jika berlaku perlanggaran serius.
Secara keseluruhannya, integrasi teknologi pencegahan kemalangan dan struktur kerangka yang teguh memastikan Tayron bukan sahaja memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa, malah memberikan perlindungan yang komprehensif bagi keluarga dalam pelbagai senario kemalangan.
Tayron juga dilengkapi sistem Proactive Passenger Protection, satu mekanisma keselamatan yang beroperasi sebelum berlakunya perlanggaran dengan menyediakan kenderaan serta penumpang bagi menghadapi impak yang mungkin berlaku.
Sistem ini berfungsi dengan memantau dinamik kenderaan secara berterusan melalui rangkaian sensor canggih, termasuk sensor kelajuan, sudut stereng, keamatan brek, dan kestabilan elektronik (ESC).

Apabila sistem mengesan situasi pemanduan kritikal, seperti brek kecemasan yang mengejut, olengan kenderaan yang tidak stabil, atau tanda-tanda kehilangan kawalan, ia akan mengambil tindakan pencegahan segera.
Tindakan pertama melibatkan penggunaan penegang tali pinggang keledar elektrik boleh balik (reversible electric pre-tensioners) pada bahagian pemandu dan penumpang hadapan.
Berbeza dengan sistem piroteknik sekali guna, penegang ini menarik tali pinggang keledar untuk membetulkan posisi duduk penumpang agar mereka berada dalam kedudukan optimum bagi menghadapi impak, sekali gus meningkatkan keberkesanan beg udara dan mengurangkan risiko kecederaan.
Selain penegang tali pinggang, sistem ini secara automatik akan menutup tingkap sisi serta bumbung suria tetapi meninggalkan bukaan kecil untuk memastikan tekanan udara dalam kabin adalah tepat untuk pengembangan beg udara yang efektif.
Langkah ini juga berfungsi sebagai pelindung daripada objek luaran yang mungkin memasuki ruang kabin akibat impak. Bergantung kepada model dan peralatan, sistem ini juga akan mengaktifkan lampu kecemasan dengan frekuensi kelipan yang lebih pantas untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain di belakang.
Sistem ini biasanya beroperasi pada kelajuan melebihi 30 km/j dan disepadukan dengan sistem bantuan pemandu lain seperti Front Assist dan Side Assist bagi mengira kebarangkalian perlanggaran dengan lebih tepat.
Koordinasi antara unit kawalan beg udara, sistem brek, dan kestabilan elektronik memastikan kenderaan bertindak balas secara komprehensif terhadap bahaya yang dikesan.
Harga
Varian Elegance dijual pada harga RM190,660. Harga menjadi RM200,760 jika disertakan dengan Volkswagen Assurance Package (VAP).
VAP adalah pakej penyelenggaraan, jaminan, dan bantuan jalan lima tahun. Harga R-Line akan diumumkan kemudian.
Seramai 69 pemilik pertama menerima tujuh tahun penyelenggaraan percuma. Ini termasuk perlindungan kemalangan diri sempena pelancaran.
Elegance kini sedia untuk dilihat di bilik pameran.
