Salah satu ejekan yang kerap didengari dari mulut penggemar jentera enjin pembakaran ialah EV tak sesuai untuk pemandu yang suka kelajuan.
Kata merek : “Beli kereta punya lah berkuasa, beratus-ratus kuasa kuda, tapi bila atas lebuhraya memandu macam siput sebab takut bateri cepat habis!”
Kita tidak boleh menyalahkan mereka sepenuhnya. Realitinya, stigma mengenai range anxiety (kerisauan jarak pemanduan) dan terpaksa tersadai antara 30 minit hingga satu jam di stesen pengecasan untuk menambah tenaga bateri adalah batu penghalang terbesar buat ramai peminat automotif untuk beralih ke era elektrik.
Malah, apabila sebuah jentera Grand Tourer (GT) premium berprestasi tinggi diperkenalkan, skeptisisme yang sama pasti timbul. Adakah beratnya yang menyamai sebuah ‘kapal’ akan memakan diri di litar, dan adakah pecutannya yang digembar-gemburkan itu sekadar gimik yang akhirnya membuatkan anda tersedak di stesen pengecasan lebuh raya?

Kami berada di Zhengzhou, China baru-baru ini untuk menguji sebuah jentera yang bukan sahaja mahu memadamkan terus jenaka pemilik kereta ICE ini, malah meletakkan Malaysia sebagai pasaran luar negara pertama di dunia yang bakal menerimanya tak lama lagi: Denza Z9 GT.
Melihat susuk tubuh Denza Z9 GT secara fizikal, ia sebuah jentera shooting brake yang sangat mengagumkan. Reka bentuknya yang meluncur rendah memberikan ruang kabin yang amat luas untuk kedua-dua barisan tempat duduk, ruang but yang praktikal di belakang, dan ya, ia juga mempunyai sebuah ruang simpanan di hadapan (front trunk / frunk). Ia adalah sebuah jentera GT keluarga jarak jauh yang sangat lengkap.
Namun, reka bentuk yang besar dan mewah ini biasanya datang dengan satu kompromi besar — berat. Di atas kertas, jentera ini bukanlah sebuah kereta yang ringan. Di sinilah kerisauan mula timbul: Adakah kelajuan mengecas dan masa pecutannya yang diuar-uarkan mampu mengatasi kekurangan fizikal ini, atau adakah model ini sebenarnya tidak jauh beza dengan EV berat yang lain?

Skeptisisme itu hilang seawal selekoh pertama di litar ujian Zhengzhou. Denza Z9 GT dilengkapi dengan sistem konfigurasi tiga motor elektrik (tri-motor) yang dikawal oleh platform pintar e³.
Apabila kami membawanya ke litar gymkhana yang ketat, tiga motor ini bekerja dengan begitu tangkas untuk memastikan kereta kekal stabil dan mengekalkan garisan pemanduan yang kemas, walaupun ketika dipaksa menukar arah secara agresif.
Sistem sterengnya amat tepat, dan apa yang paling memuaskan adalah bagaimana casis jentera ini bertindak balas dengan sangat patuh terhadap pelarasan sudut melalui input pedal pendikit (throttle attitude adjustment).
Lebih mengejutkan, sistem brek fizikal dan brek regeneratif (regen braking) jentera ini langsung tidak menunjukkan tanda-tanda kepenatan (fade), walaupun dilencongkan tanpa henti dari pagi membawa ke petang oleh lebih 40 orang pengamal media dari Malaysia!

Bagi mereka yang mahukan keseronokan maksimum, jentera ini turut dilengkapi dengan Drift Mode. Sistem komputer akan mengagihkan tork di antara motor belakang dengan begitu pantas sehinggakan pemandu biasa pun mampu melakukan aksi gelongsoran trofi dan terasa seperti seorang pemandu profesional (hero) di litar.
Ketika ujian slalom, satu lagi keupayaan teknologi dipamerkan — sistem stereng roda belakang (rear wheel steer). Teknologi ini secara drastik meningkatkan kelincahan jentera ketika memasuki selekoh yang sangat tajam, selain bertindak ‘menjinakkan’ bahagian ekor kereta daripada membuang ketika meluncur laju di selekoh-selehok berbentuk zigzag.
Namun, di sebalik segala kelincahan dinamik dan sistem tiga motor yang memukau ini, timbul satu persoalan besar yang masih belum terjawab. Berapa lamakah keseronokan ini boleh bertahan sebelum anda tersadai di tepi lebuh raya menanti bateri dicas semula? Adakah pecutannya yang mengagumkan ini akan menjadi sia-sia akibat keluk pengecasan yang lembap di fasa akhir?

Inilah masanya untuk kita mendedahkan senjata rahsia terbesar Denza Z9 GT untuk tahun ini. BYD Group melalui jenama premium mereka, Denza, bakal memperkenalkan teknologi Flash Charging yang di Lebuhraya utama Malaysia dan langsung mengubah landskap pemanduan jarak jauh EV.
Pada permulaan mereka akan memasang peralatan Flash Charger di bilik pameran tetapi ia akan mual muncul di lebuhraya tak lama selepas itu/ BYD Malaysia tidak mahu menyatakan tempoh tetapi sekadar mengatakan ianya bukan dalam tempoh bertahun tahun.
Jika pengecasan pantas DC biasa (malah pada standard ultra-pantas sekalipun) akan mula memperlahankan kadar kuasa (drop-off) seawal 50% atau 60% tahap pengecasan (SOC) demi menjaga jangka hayat bateri, sistem Flash ChargingDenza membuang terus formula lama itu.
Kami menyaksikan sendiri demo pengecasan di mana kadar pengecasan super pantas ini kekal konsisten dan dipertahankan sehingga mencecah 97 peratus SOC, dengan hampir tiada bukti penurunan kelajuan di sepanjang proses tersebut!
Ini pautan video https://youtu.be/O9sWV3ZBrDQ
Penemuan teknologi pengecasan ini adalah yang paling mengejutkan industri setakat tahun ini. Pengalaman singgah di lebuh raya kini tidak lagi melibatkan sesi menunggu 30 minit hingga sejam yang membosankan; anda hanya perlu memasang palam, dan dalam masa yang sangat singkat, bateri kereta sudah pun penuh bersedia tanpa keluk pengecasan yang ‘lemau’ di fasa akhir.
Paling penting untuk pasaran tempatan, Denza memberikan jaminan komitmen yang sangat padu: mereka akan merealisasikan infrastruktur lebuh raya berkuasa Flash Charging ini di Malaysia. Ini bermakna pemilik EV di Malaysia tidak perlu lagi memandu perlahan semata-mata untuk ‘menyimpan’ bateri.

Berikut adalah spesifikasi asas bagi varian elektrik sepenuhnya (BEV) Denza Z9 GT yang bakal mendarat di tanah air:
| Spesifikasi | Butiran Teknikal |
| Platform | e³ Platform (e-Platform 3.0 Evo) |
| Konfigurasi Motor | Tiga Motor Elektrik (Tri-motor AWD) |
| Kuasa Keseluruhan | 965 Hp (710 kW) / 1,150 Nm tork |
| Kapasiti Bateri | 100 kWh – Lithium Iron Phosphate (LFP) Blade Battery |
| Jarak Pemanduan | Jarak anggaran sekitar 600 km hingga 630 km (CLTC) |
| Ciri Khas Pemanduan | Drift Mode, Slalom Mode, Active Rear-Wheel Steering (4WS) |
Dengan gabungan praktikaliti sebuah jentera shooting brake untuk keluarga, prestasi litar bertaraf supercar yang mampu menjinakkan selekoh tajam dengan mudah, serta penamat mutlak kepada isu range anxiety menerusi Flash Charging, Denza Z9 GT bukan sekadar sebuah EV baharu di pasaran. Ia adalah jentera yang bakal menutup mulut para pengkritik tegar EV di Malaysia buat selama-lamanya. Sediakan tabungan anda sekarang!
