Dari 2023 Hingga Meluncurkan TIGGO 9: Ini Strategi Chery Menang Hati Pelanggan Dan Komuniti Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 Jun 2026 – Sejak membuat kemunculan semula di pasaran tempatan pada tahun 2023, Chery kini meraikan ulang tahun ketiganya di Malaysia dengan mencatatkan pertumbuhan yang kukuh melalui peluasan rangkaian pengedar, kepelbagaian portfolio produk, serta komitmen pelaburan jangka panjang.

Jenama automotif itu kini telah berjaya menubuhkan sebanyak 60 cawangan pengedar di seluruh negara bagi menyokong ekosistem jualan dan selepas jualan mereka.

Di samping itu, pengenalan model SUV terbaharu iaitu TIGGO 9 secara rasminya menjadi model kenderaan ke-10 dalam portfolio produk Chery di Malaysia. Kehadiran model ini sekali gus melengkapkan penawaran rangkaian SUV mereka yang menggabungkan aspek teknologi maju, keselamatan, reka bentuk, dan nilai bagi pasaran tempatan.

Pelaburan Hub Industri RM2.2 Bilion di Selangor

Batu tanda paling signifikan dalam pelan jangka panjang jenama ini di Malaysia ialah pembangunan Chery Smart Auto Industrial Park yang terletak di Lembah Beringin, Selangor.

Fasiliti pengeluaran yang bernilai RM2.2 bilion dan merangkumi kawasan seluas 200 ekar ini telah pun berjaya menyelesaikan fasa pertama proses topping-out. Apabila siap sepenuhnya kelak, ia bakal menjadi kilang pemasangan terbesar Chery di Malaysia yang berfungsi untuk memperkukuh keupayaan pembuatan tempatan serta menyokong aktiviti eksport ke rantau ASEAN.

Pendekatan Komuniti dan Tanggungjawab Sosial (ESG)

Bagi membina hubungan yang bermakna dengan para pelanggan, Chery memanfaatkan platform komuniti With Chery With Love (WCWL) yang menghubungkan pemilik kenderaan menerusi pelbagai aktiviti gaya hidup, kekeluargaan, dan kemasyarakatan.

Selain daripada aspek perniagaan, Chery turut melaksanakan beberapa inisiatif berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta bantuan komuniti, antaranya:

  • Pemulihan Hutan Paya Bakau: Melancarkan program Cherish the Nature selama 18 bulan bersama International Union for Conservation of Nature (IUCN) dan Malaysian Nature Society (MNS) untuk memulihara ekosistem pantai di Wilayah Selangor Utara-Tengah.
  • Bantuan Bencana Setempat: Menyediakan 50 unit kenderaan Chery selama tempoh sebulan secara percuma bagi membantu pergerakan penduduk yang terjejas akibat insiden kebakaran di Putra Heights, Selangor pada tahun 2025.

Melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya, Chery mengesahkan fokus mereka akan terus tertumpu kepada pengembangan portfolio produk, pengukuhan kapasiti pembuatan tempatan, peningkatan pengalaman pemilikan pelanggan, serta pelaburan dalam pembangunan lestari di Malaysia.

Leave a Reply