KUALA LUMPUR – BYD Sime Motors berjaya mencatatkan lebih daripada 1,000 tempahan untuk model BYD ATTO 3 versi 2026 dalam tempoh 10 hari selepas pelancarannya pada 5 Jun lalu.
Pencapaian ini mengulangi sejarah pelancaran model pertama pada tahun 2022 yang turut meraih jumlah tempahan yang sama dalam tempoh waktu yang sama. Malaysia adalah negara pertama di rantau Asia Pasifik yang memperkenalkan model Atto 3 berkenaan.

Model terbaharu ini diperkenalkan buat kali pertama di Sime Motors MotorExpo 2026, menampilkan varian premium pacuan roda belakang dengan pecutan 0–100 km/j dalam masa 5.5 saat, kuasa pengecasan sehingga 220 kW, jarak pemanduan mencecah 600 km, serta ciri keselamatan pintar yang dipertingkatkan.
Bagi meraikan pencapaian tersebut, BYD Sime Motors telah mengadakan satu majlis khas semalam di cawangan BYD Bandar Utama bagi menghargai pelanggan ke-1,000 mereka. Setakat ini, BYD ATTO 3 kekal menjadi model kenderaan elektrik (EV) paling laris di Malaysia dengan rekod penghantaran melebihi 12,000 unit.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, menyatakan bahawa maklum balas pantas daripada pengguna ini mencerminkan perubahan jangkaan pemandu tempatan yang kini mengutamakan kenderaan dengan gabungan teknologi dan praktikaliti harian.
Pengarah Urusan Peruncitan & Pengedaran Malaysia Sime Motors, Vi Thim Juan, turut mengalu-alukan orang ramai untuk mengunjungi bilik pameran sah di seluruh negara bagi memandu uji kenderaan berkenaan.
Sokongan pasaran BYD Sime Motors di Malaysia kini diperkukuh melalui rangkaian 44 pusat jualan, 25 pusat servis pasca jualan, serta 12 pusat mengecat dan membaiki kenderaan.



