KUALA LUMPUR – Hyundai Motor Malaysia (HMY) secara rasmi memeriahkan fasa pertengahan Pameran Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS 2026) dengan memperkenalkan previu eksklusif model kenderaan pelbagai guna (MPV) kompak terbaharu mereka, Hyundai Stargazer.
Kehadiran model yang digelar sebagai ‘Wehicle’ atau kenderaan keluarga ini menandakan langkah agresif jenama Korea Selatan tersebut dalam mempelbagaikan portfolio domestik mereka daripada segmen kenderaan elektrik (EV) berprestasi tinggi kepada kenderaan segmen-B yang lebih praktikal untuk pasaran massa.
Walaupun model ini dibawa masuk sebagai unit import sepenuhnya (CBU) yang sudah lama memulakan jualan di pasaran Indonesia, HMY kini secara rasminya telah membuka lembaran tempahan untuk pasaran Malaysia dengan menawarkan tiga pilihan varian utama pada harga anggaran yang sangat kompetitif.

Bagi pasaran tempatan, Hyundai Stargazer ditawarkan dalam tiga pilihan trim dengan anggaran harga bermula RM99,000 bagi varian asas Style tujuh tempat duduk, RM109,000 untuk varian pertengahan Prime tujuh tempat duduk, dan RM121,000 bagi varian tertinggi berimej SUV, Stargazer X enam tempat duduk.
Kehadiran julat harga ini meletakkan Stargazer dalam kedudukan strategik yang sangat unik untuk bersaing secara langsung dalam pasaran kenderaan keluarga. Kami menjangka harga sebanar mungkin rendah sedikit dari harga anggaran.
Di atas kertas, varian Style dan Prime akan mencabar penguasaan kembar popular Toyota Veloz dan Perodua Alza, serta juara bertahan Mitsubishi Xpander dari segi nilai mampu milik dan praktikaliti harian.
Sementara itu, varian premium Stargazer X pula bakal memberikan alternatif baharu yang sengit kepada pembeli yang sedang mempertimbangkan SUV kompak seperti Mitsubishi X-Force mahupun SUV segmen-D yang lebih besar seperti Proton X90.

Dari sudut spesifikasi teknikal, kelebihan Stargazer berbanding pesaingnya terletak pada keseimbangan antara reka bentuk futuristik dan penawaran teknologi ruang kabin.
Kesemua varian pacuan dua roda (2WD) ini digerakkan oleh enjin petrol empat silinder sebaris Smartstream G1.5 MPI berkapasiti 1,497cc dengan sistem pengambilan udara boleh laras (VIS) yang menghasilkan kuasa maksimum 115 ps pada 6,300 rpm dan tork puncak 143.8 Nm pada 4,500 rpm.
Kuasa itu dihantar ke roda hadapan menerusi transmisi boleh laras pintar (IVT) yang lancar dengan sokongan tangki bahan api berkapasiti 40 liter.
Dari segi dimensi, varian Style dan Prime mempunyai ukuran panjang 4,575 mm dan lebar 1,780 mm, manakala Stargazer X pula bersaiz lebih besar dengan panjang 4,610 mm, lebar 1,820 mm, serta jarak kelegaan lantai lebih tinggi pada 1,740 mm walaupun ketiga-tiganya berkongsi jarak roda yang sama sejauh 2,780 mm.

Reka bentuk luaran kesemua varian dipadankan dengan lampu hadapan unjuran LED penuh bersama fungsi lampu automatik serta lampu pencahayaan siang (DRL) LED, manakala Stargazer X menerima penambahan luaran sporty eksklusif seperti bampar rekaan khas, spoiler belakang, rel bumbung jenis jambatan, overfender, emblem hitam, dan rim aloi hitam berkilat 17-inci bagi membezakannya dengan rim aloi 16-inci pada Style dan rim potongan berlian 17-inci pada Prime.
Identiti reka bentuk futuristik satu kotak ini diterjemahkan ke dalam ruang kabin melalui susunan papan pemuka praktikal yang dilengkapi konsol tengah terapung bersama talam boleh tanggal, kotak lantai kargo, butang penghidup enjin jarak jauh, serta pilihan kemasan tempat duduk fabrik untuk Style, fabrik dan kulit tiruan untuk Prime, manakala Stargazer X menerima balutan kulit tiruan sepenuhnya bersama konfigurasi tempat duduk kapten baris kedua lipatan 50:50 dengan meja sandaran.
Varian Style dan Prime pula mengekalkan susunan bangku baris kedua lipatan 60:40 standard, di mana sistem multimedia digerakkan oleh paparan skrin sesentuh 8-inci dengan sistem 4 pembesar suara untuk Style, berbanding paparan sesentuh 10.25-inci dengan sistem 6 pembesar suara pada Prime dan Stargazer X.

Aspek keselesaan pemanduan bagi varian Prime dan Stargazer X dipertingkatkan lagi menerusi kehadiran sistem kawalan iklim automatik sepenuhnya serta fungsi Brek Parkir Elektronik (EPB) dengan Auto Hold. Dari sudut keselamatan, varian Style dipasangkan dengan 2 beg udara standard, manakala gred Prime dan Stargazer X dilengkapi dengan 6 beg udara serta rangkaian bantuan pemandu termaju (ADAS) Hyundai SmartSense yang komprehensif.
Pakej keselamatan ini merangkumi fungsi Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA) yang merangkumi pengesanan pejalan kaki, basikal serta kenderaan di persimpangan, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Bantuan Mengikut Lorong (LFA), serta Amaran Perhatian Pemandu (DAW) dengan Amaran Pelepasan Kenderaan Hadapan (LVDA).
Selain itu, pemandu varian atas turut dibantu oleh sistem Bantuan Pengelakan Pelanggaran Trafik Lintas Belakang (RCCA) dengan brek automatik dan Bantuan Keluar Selamat (SEA) bagi mengelakkan kemalangan ‘dooring’ akibat kehadiran kenderaan dari arah belakang.



Sebagai strategi serantau, kelewatan kemasukan Stargazer ke Malaysia selepas membina nama di Indonesia diimbangi oleh tawaran pakej pemilikan yang belum pernah ditawarkan dalam segmennya. HMY memberikan jaminan pengilang selama 8 tahun atau bagi jarak perbatuan 160,000 kilometer, sekali gus meletakkan penanda aras baharu dari segi ketenangan minda pemilik berbanding tempoh jaminan standard industri lima tahun yang ditawarkan oleh kebanyakan pesaing rapatnya.
Orang ramai yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat reka bentuk fizikal dan varian diinspirasikan daripada SUV yang ditawarkan dalam pilihan warna termasuk Titan Gray Metallic, Creamy White Pearl, Midnight Black Pearl, dan Gravity Gold Matte ini boleh mengunjungi booth Hyundai di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) sepanjang berlangsungnya KLIMS 2026 sehingga 21 Jun ini sebelum ia dibawa secara rasmi ke rangkaian bilik pameran nasional.







