Tesla Malaysia secara rasmi telah memperluas rangkaian operasinya ke Sarawak dengan melancarkan Pusat Pengalaman Tesla (Tesla Experience Centre) yang baharu bertempat di Lot G43, The Spring Shopping Mall, Kuching.
Pembukaan pusat pameran terbaharu ini turut menyaksikan penampilan model sedan elektrik terlaris negara, Model 3, di samping SUV enam tempat duduk terbaharu, Model Y L, bagi memamerkan teknologi kenderaan elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI) terkini jenama tersebut kepada pengguna di Timur Malaysia.

Pelancaran pusat ini dikendalikan oleh Pengurus Wilayah Tesla Malaysia, Karen Teo, bersama pihak pengurusan The Spring Shopping Mall.
Seiring dengan pelancaran ini, Tesla turut mengumumkan pengenalan pembantu AI ‘Grok’ yang dibangunkan oleh xAI untuk pemilik kenderaan di Malaysia melalui kemas kini perisian secara Over-The-Air (OTA).
Sistem interaksi suara pintar ini boleh diaktifkan dengan arahan suara ‘Hey Grok’ atau menekan butang suara pada roda stereng secara lama. Grok menawarkan fungsi interaksi yang lebih intuitif merangkumi perancangan laluan perjalanan pelbagai lokasi, carian navigasi stesen pengecasan Supercharging serta kemudahan awam, penjelasan amaran mekanikal pada skrin, serta sembang suara pintar yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pemilik.
Bagi pasaran tempatan, Tesla Model Y ditawarkan dalam empat varian utama bermula daripada model Premium RWD pada harga RM 195,450 dengan jarak gerak anggaran 488 km, diikuti Premium Long Range RWD berharga RM 216,450 (691 km), dan Premium Long Range AWD pada harga RM 242,450 (629 km).
Varian tertinggi dan terbaharu, Model Y L Premium AWD yang menampilkan konfigurasi enam tempat duduk, dijual pada harga RM 260,000 dengan keupayaan memecut 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.0 saat serta jarak pemanduan anggaran sejauh 681 km. Semua varian Model Y ini mengehadkan kelajuan maksimum pada 201 km/j.

Sementara itu, Tesla Model 3 pula ditawarkan dalam empat pilihan trim jualan. Varian asas Model 3 RWD dijual pada harga RM 147,600 manakala varian Model 3 Premium RWD diletakkan pada harga RM 169,000, di mana kedua-duanya menawarkan jarak gerak WLTP sejauh 534 km dengan kelajuan maksimum 201 km/j.
Bagi pemanduan jarak jauh, Model 3 Premium Long Range RWD ditawarkan pada harga RM 185,000 dengan keupayaan jarak gerak tertinggi mencecah 750 km. Varian prestasi tertinggi, Model 3 Performance AWD, dijual pada harga RM 229,000 dengan kelajuan maksimum 261 km/j serta pecutan 0 hingga 100 km/j sepantas 3.1 saat.
Tesla mengekalkan model perniagaan jualan dan penyampaian perkhidmatan secara terus kepada pelanggan di seluruh Malaysia. Sehingga awal tahun 2026, lebih daripada 80 peratus pemilik Tesla di Timur Malaysia telah menggunakan kemudahan pengecasan di rumah (Home Charging), dengan perancangan untuk menambah lebih banyak stesen pengecasan Tesla di sekitar Sarawak dalam masa terdekat.
Pemilik kenderaan di kawasan tersebut juga boleh memanfaatkan perkhidmatan mudah alih (mobile services) serta menjadualkan temu janji penyelenggaraan di Tesla Approved Bodyshop (TAB) yang terletak di Jalan Datuk Abang Abdul Rahim, Kuching.


