Satu siasatan menyeluruh oleh penyelidik bateri bebas, Ziroth, bersama lebih 20 pakar industri bertaraf dunia telah membongkar penipuan berskala besar syarikat Donut Lab yang mendakwa berjaya menghasilkan bateri solid-statesodium-ion berprestasi tinggi, di mana ia kini terbukti secara konklusif hanyalah sel jenis lithium-ion biasa.
Pendedahan elektrokimia yang mengejutkan industri kenderaan elektrik (EV) global ini menyamai skandal penipuan perubatan Theranos, selepas Donut Lab didapati memanipulasi data teknikal bagi mengumpul dana pelaburan berjumlah sekitar $25 juta daripada lebih 1,300 pelabur kecil yang tidak mempunyai akses kepada keupayaan audit teknologi.

Rentetan daripada laporan penipuan forensik yang lengkap ini, pihak berkuasa kewangan serta agensi siasatan jenayah di Finland dilaporkan telah membuka kertas siasatan rasmi terhadap syarikat tersebut dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marko Lehtimäki, atas dakwaan penyelewengan dan penipuan pelabur.
Berdasarkan analisis data makmal bebas yang dijalankan oleh pakar dari Institut Penyelidikan Fraunhofer dan Universiti Justus-Liebig, tembelang Donut Lab pecah menerusi dua bukti saintifik utama yang melibatkan lengkungan voltan dan corak pengembangan fizikal sel bateri semasa proses pengecasan.
Semasa ujian dijalankan oleh institusi penyelidikan VTT, sel bateri Donut Lab mencatatkan bacaan voltan sekitar 3.7 hingga 3.8 volt pada tahap cas 50 peratus, yang mana angka tersebut merupakan profil standard dan cap jari bagi sel lithium-ion berasaskan kimia Nickel Cobalt Manganese (NCM).
Sebaliknya, kimia jenis sodium-ion yang digembar-gemburkan oleh syarikat itu secara teorinya tidak akan mampu melebihi kadar 3.5 volt pada tahap cas yang sama. Bukti kedua yang lebih kritikal melibatkan data pengembangan mekanikal sel, di mana dikesan wujudnya lekukan khas (kink) pada tahap cas 50 hingga 70 peratus.
Lekukan ini adalah bukti nyata berlakunya penyusunan semula ion di dalam struktur anod jenis grafat, satu proses yang hanya boleh berlaku pada ion litium kerana ion sodium secara fizikalnya terlalu besar untuk muat ke dalam lapisan grafat tersebut.
Hasil pengiraan matematik daripada data ujian VTT turut mengesahkan ketumpatan tenaga sebenar bateri itu hanyalah sekitar 298 Wh/kg, jauh meninggalkan dakwaan asal syarikat iaitu 400 Wh/kg dengan jangka hayat 100,000 kitaran pengecasan yang diumumkan sewaktu acara CES 2026.
Rantai penipuan teknologi ini dikesan bermula daripada sebuah syarikat pembekal di Jerman bernama CT Coatings yang memegang pelbagai portfolio paten pelik termasuk rekaan batu turap bercetak skrin dan fail menu, yang bertindak membekalkan sel pouch lithium-ion biasa kepada syarikat pengilang Nordic Nano dan Donut Lab sebagai entiti pengkomersial.
Siasatan mendalam mendapati Donut Lab hanya bergantung kepada proses penilaian teknikal harian dalaman mereka sendiri tanpa mendapatkan pengesahan rasmi daripada pihak ketiga yang bebas, walaupun kedua-dua syarikat tersebut disahkan langsung tidak mempunyai kepakaran dalam bidang kimia bateri.
Keadaan menjadi lebih parah apabila wakil CT Coatings sendiri didapati gagal memahami sains asas bateri semasa pertemuan dengan pakar institut penyelidikan apabila mendakwa litium adalah logam nadir bumi.
Malah, dakwaan Donut Lab bahawa mereka telah mula menyerahkan motosikal elektrik produksi komersial pertama di bawah jenama Verge Motorcycles pada suku pertama tahun 2026 juga terbukti palsu selepas video dalaman menunjukkan unit tersebut hanyalah jentera ujian pra-produksi bagi kegunaan armada dalaman mereka sendiri.
CEO syarikat akhirnya mengaku kepada media Finland bahawa sel bateri berketumpatan 400 Wh/kg tersebut tiada dalam motosikal yang dilancarkan, selain emel dalaman yang bocor mendedahkan Donut Lab sebenarnya tidak pernah menerima sebarang bukti spesifikasi bateri daripada CT Coatings.
Modus operandi pengumpulan dana syarikat ini turut dikritik hebat kerana didapati sengaja menyasarkan pelabur runcit kecil-kecilan melalui platform crowdfunding Springvest bagi mengelakkan audit teknikal ketat yang biasanya dituntut oleh firma modal teroka (Venture Capital) gergasi.
Melalui penubuhan Donut Lab sebagai syarikat induk hasil penstrukturan semula Verge Motorcycles, nilai syarikat telah melonjak sehingga mencecah $1.25 bilion bersandarkan unjuran pulangan pelaburan sehingga 10 kali ganda dalam tempoh singkat hasil penemuan bateri ajaib tersebut.
Walaupun skandal ini memberi tamparan hebat kepada sentimen pelaburan EV, para pakar menegaskan bahawa kes terpencil Donut Lab ini tidak mencerminkan garis masa industri solid-state global secara menyeluruh.
Pasaran teknologi solid-state tulen masih berada di landasan yang dipercayai menerusi program pelaburan mega yang mempunyai kredibiliti teknikal sahih, termasuk pelaburan $15 bilion oleh Toyota untuk pengeluaran kenderaan menjelang 2027-2028 serta talian rintintis pengeluaran massa solid-state oleh Samsung SDI yang dijadualkan bermula pada tahun 2027.


