PRO-NET Lancar Identiti Korporat Baharu, Buka Dua Outlet Premium Proton e.MAS Di Ibu Kota 

Subang Jaya, 22 Mei 2026 – PRO-NET, cabang edaran dan jualan bagi Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) Proton, mencatatkan lonjakan jualan Proton e.MAS sebanyak 329.5 peratus bagi tempoh empat bulan pertama tahun 2026. 

Sebanyak 11,617 unit kenderaan elektrik dan hibrid plug-in telah diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara sepanjang tempoh tersebut, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara jenama EV dengan pertumbuhan terpantas di Malaysia.

Bagi menyokong momentum pertumbuhan yang agresif ini, PRO-NET memperluas rangkaian pengedarnya dengan pembukaan dua cawangan baharu pada bulan ini. 

Cawangan pertama terletak di lokasi strategik sepanjang Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, bersebelahan dengan bilik pameran kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) Proton. 

Manakala cawangan kedua merupakan outlet berasaskan pusat beli-belah terbaharu yang dibuka di Pavilion Bukit Jalil bagi mendekati pengguna urban dan pembeli berorientasikan gaya hidup.

Kedua-dua cawangan baharu ini menjadi pelopor kepada pengenalan Identiti Korporat (CI) premium terbaharu Proton e.MAS. Konsep bilik pameran ini membawakan pembaharuan dari segi skim warna, bahan premium, elemen digital moden serta pusat sentuhan pelanggan yang dipertingkat untuk menyediakan proses pembelian EV yang lebih lancar. 

Pengenalan CI baharu ini juga menandakan fasa matang Proton e.MAS daripada pengeluar EV baharu kepada ekosistem mobiliti yang lebih kukuh. Cawangan sedia ada dan masa depan akan menerima identiti korporat baharu ini secara berperingkat untuk menyeragamkan pengalaman jenama di seluruh negara.

Secara keseluruhan, Proton e.MAS kini mengendalikan 53 outlet jualan di seluruh Malaysia, menjadikannya antara rangkaian pengedar NEV paling luas di dalam negara. 

Rangkaian ini turut menyokong sekitar 1,600 kakitangan dalam sektor jualan, servis dan pentadbiran bagi memastikan sokongan pemilikan jangka panjang yang stabil buat pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang menyatakan bahawa pertumbuhan pesat ini didorong oleh keyakinan pelanggan terhadap ekosistem jualan dan pasca-jualan syarikat. 

Tambah beliau, penyediaan struktur sokongan yang kuat bagi setiap pelancaran model memberikan jaminan jangka panjang kepada pemilik sekali gus meningkatkan kesetiaan terhadap jenama, selain komited untuk terus menambah bilangan outlet bagi meluaskan capaian pasaran.

Leave a comment