Senyum Dulu Bah: Tanpa Modifikasi Khusus, Proton Saga, X50 Dan S70 Diuji Merentasi Muka Bumi Ekstrem Borneo

KOTA KINABALU – Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON) membuktikan ketahanan barisan kenderaan keluarannya melalui penganjuran ekspedisi jarak jauh rentas sempadan Proton 10,000 sMILEs Expedition yang kini sedang berlangsung di Sabah.

Menggunakan slogan ‘Senyum Dulu Bah’ yang diinspirasikan daripada identiti kemesraan masyarakat tempatan, konvoi ini menguji keupayaan sebenar tiga model utama pasaran massa iaitu Proton Saga, Proton X50, dan sedan terbaharu Proton S70.

Menariknya, kesemua jentera yang digunakan dalam pemanduan mencabar ini mengekalkan spesifikasi standard kilang sepenuhnya tanpa sebarang modifikasi teknikal khusus bagi membuktikan praktikaliti dan keupayaan pemanduan harian di atas muka bumi Borneo yang mencabar.

Laluan ekspedisi di wilayah Sabah ini merangkumi pemanduan dari kawasan bandar raya Kota Kinabalu sehinggalah ke kawasan tanah tinggi Kundasang yang terkenal dengan struktur jalan raya berbukit, curam, serta keadaan geografi yang ekstrem.

Melalui ujian pemanduan dunia nyata (real-world validation) ini, aspek kejuruteraan melibatkan prestasi enjin pengecas turbo, sistem transmisi klac berkembar (DCT), kecekapan brek, serta talaan suspensi diuji pada tahap maksimum dalam keadaan cuaca serta kualiti jalan raya sedia ada.

Keupayaan barisan model ini melepasi kekangan geografi Borneo bertujuan memberikan keyakinan penuh kepada pengguna pasaran Malaysia Timur mengenai aspek kebolehpercayaan (reliability) produk keluaran nasional tersebut.

Penganjuran ekspedisi sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan musim perayaan Pesta Kaamatan ini juga menjadi langkah strategik PROTON dalam mengukuhkan penguasaan pasaran di Sabah dan Sarawak yang mencatatkan lonjakan volum jualan ketara sebanyak 283 peratus sejak tahun 2018.

Peningkatan jumlah jualan tahunan daripada 7,697 unit kepada 29,461 unit pada tahun lalu telah membolehkan pegangan pasaran keseluruhan jenama itu di Malaysia Timur meningkat dua kali ganda daripada 10 peratus kepada 21 peratus.

Sokongan pasaran yang utuh ini disumbangkan oleh rangkaian 26 pusat jualan dan servis di wilayah tersebut, serta kewujudan Pusat Alat Ganti Serantau (RPC) khusus yang mempercepatkan kecekapan sokongan selepas jualan.

Selain daripada aspek pengesahan teknikal jentera, konvoi Proton 10,000 sMILEs Expedition turut memfokuskan kepada agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kelestarian alam sekitar di sepanjang laluan kembara.

Sepanjang persinggahan di Sabah, para peserta konvoi terlibat dalam program santunan komuniti bersama penghuni Sabah Cheshire Home bagi menyerahkan sumbangan kebajikan, di samping mengadakan kolaborasi pemeliharaan alam sekitar bersama pihak pengurusan Kinabalu GeoPark.

Selepas menyelesaikan fasa pemanduan di Sabah, konvoi kenderaan standard PROTON ini dijadualkan meneruskan perjalanan rentas sempadan ke Brunei Darussalam sebelum melengkapkan keseluruhan ekspedisi di Sarawak.

Leave a comment