PULAU PINANG, MAY 15 – Setelah lebih sebulan kita mendengar pelbagai pendapat mengenai program pemasangan tempatan BYD, ada yang mengatakan bahawa ianya akamn dibatalkan dan BYD akan meninggalkan pasaran kita, harini kita mendapat pengesahan yang pembuat kenderaan elektrik terbesar dunia tidak akan lari dai Malaysia.

Jaminan ini diberikan oleh Timbalan Presiden BYD, Liu Xueliang yang juga merupakan pengurus besar Pemasaran Auto Asia Pasifik syarikat tersebut ketika melancarkan bilik pameran BYD Mansion Macalister di Pulau Pinang hari ini.
Bilik Pameran ini ialah yang ke 41 di Malaysia dan yang ketiga di Pulau Pinang, ia adalah cawangan BYD Sime dan merupakan bilik pameran paling hebat di seluruh Malaysia, dibina diatas sebuah rumah agam lama yang diubahsuai.
Liu berkata pelancaran bilik pameran di jalan Macalister yang gah adalah petanda jelas yang mereka tidak merancang untuk meninggalkan pasaran Malaysia malah akan terus membuka beberapa cawangan baru dalam masa terdekat.
Perancang untuk memperkenalkan model baru dan dikemaskini juga akan diteruskan seperti biasa kerana mereka merasakan Malaysia dalah antara pasaran penting untuk jenama tersebut.
Jaminan ini sudah tentu akan memberikan keyakinan kepada pelanggan sedia ada dan mereka yang merancang untuk membeli jenama BYD yang takut mereka akan ditinggalkan tanpa sokongan lepas jualan jika syarikat tersebut meninggalkan pasaran.
Liu juga berkata mereka terima bahawa Malaysia, seperti negara lain mempunyai syarat tertentu untuk memasuki pasaran dan BYD merancang untuk terus boleh menawarkan produk terkini pada harga kompetitif.

Kenyataan beliau adalah agak umum dan tidak menawarkan sebarang perincian khusus mengenai rancangan membina kilang di Tanjung Malim, apa yang kami faham kilang tersebut tidak dibatalkan tetapi sedang ditangguhkan sementara butiran tertentu diperhalusi dan dimuktamadkan.
Antara pilihan yang terbuka kepada BYD ialah menggunakan rakan pengilangan tempatan dalam masa terdekat bagi membolehkan mereka terus menyertai pasaran dengan kompetitif, seperti yang dilakukan oleh jenama lain seperti Chery, MG, GWM dan X-Peng.
Menggunakan lesen pengilangan Hakan tempatan dapat mengurangkan kerumitan perbincangan untuk mendapatkan lesen pengilangan sendiri yang perlu mematuhi pelbagai syarat dan selalunya memakan masa berbulan atau bertahun untuk diuruskan.
Untuk BYD, mereka sangat bernasib baik kerana sudahpun mempunyai rakan tempatan yang agak kukuh iaitu kumpulan Sime Darby, satu konglomerat tempatan yang mempunyai pelbagai keupayaan termasuk pengilangan automotif di Kulim yang kini memasang kenderaan untuk pelbagai jenama Jepun, Korea, Jerman dan British.
Walaupun mereka enggan mengesahkan sebarang perancangan, kami percaya kilang Inokom di Kulim adalah pilihan paling mudah untuk jenama China tersebut kerana ianya sudah matang dan mempunyai pengalaman memasang pelbagai jenama moden dan premium termasuk Hyundai, Kia, Mazda, BMW, Mini dan Porsche.
Chery juga menggunakan fasiliti inokom untuk memasang model Omoda 5 yang ditawarkan dalam bentuk enjin pembakaran dan elektrik sepenuhnya.
Kontroversi BYD ini kelihatan bangun dari komen netizen dan bukan sebarang kenyataan dari pihak BYD mahupun Kerajaan Malaysia dan mungkin berasaskan spekulasi serta maklumat tidak lengkap.
Kenyataan Liu dilihat sebagai neutral dan menenangkan keadaan.

Beliau berkata BYD juga akan menawarkan pelbagai teknologi terkini untuk pembeli di Malaysia dan kenyataan ini adalah selari dengan kegiatan BYD di pasaran domestik mereka.
BYD yang bermula sebagai pembuat bateri menawarkan pelbagai penyelesaian tenaga baru di China termasuk panel solar, simpanan tenaga domestik, komersil dan grid serta penyelesaian sampingan.
Bagi kami di Electronikar, walaupun kenyataan Liu adalah agak umum dan samar ianya penting untuk menstabilkan pasaran EV tempatan kerana BYD adalah antara jenama EV paling popualr di Malaysia selain Proton dan Tesla.
Sebarang kegusaran mengenai kedudukan BYD boleh menggoncang keyakinan pembeli dan membantutkan minat pasaran kepada teknologi baru ini.
Selain dari jenama BYD, mereka juga menawarkan jenama mewah Denza yang akan melancarkan model baru dalam masa terdekat.
Hakikatnya strategi Kerajaan untuk menarik sebanyak pemain utama kenderaan tenaga baru pada tahun 2021 dengan memberikan cuti cukai yang sangat mewah telah berjaya menambat hati beberapa jenama besar.
Buat masa kini mereka boleh berbangga yang polisi ini telah menarik Chery untuk melakukan pelaburan besar sebuah kilang dan pusat kajian dan pembangunan di Bukit Beruntung dan memujuk beberapa jenama lain untuk memulakan program pemasangan tempatan.
Komitmen BYD mengesahkan kendudukan Malaysia sebagai satu pasaran automotif yang bermakna di Asia Tenggara dan rantau ini .
Kami berharap ini akan menjurus kepada lainlain keputusan dan anjakan positif untuk industri pengilangan di Malaysia secara amnya dan industri automotif secara khusus.
Dunia sedang mengalami satu keadaan global yang mencabar tetapi juga mengujakan dengan pembangunan teknologi bergerak dengan begitu pantas dan menjanjikan pelbagai kebaikan sejagat.
Usahasama mendalam adalah sangat penting sekarang kerana jurang teknologi antara negara semakin ketara dan sebarang sikap yang tidak mengutamakan kebaikan sejagat akan menghasilkan kemelut dan konflik global.



