Hyundai Motor Perkukuh Komitmen di China, Perkenal IONIQ V Sebagai Serangan Pertama.

BEIJING – Hyundai Motor Company mengukuhkan komitmen jangka panjangnya di pasaran China menerusi pelancaran model IONIQ V di Auto China 2026. Langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi “In China, For China, To Global” yang meletakkan China sebagai hab strategik bagi inovasi kenderaan elektrik (EV) dan daya saing global.

IONIQ V merupakan model produksi pertama di bawah jenama IONIQ yang dibangunkan khusus untuk pasaran China. Model ini menampilkan bahasa reka bentuk baharu “The Origin” dengan profil siluet melengkung, pintu tanpa bingkai, dan rim yang dioptimumkan untuk aerodinamik. Dengan jarak roda sejauh 2,900 mm, IONIQ V menawarkan ruang kabin yang luas dengan legroom baris pertama mencecah 1,078 mm.

Rekabentuk dramatik ini dijangka membantu Hyundai mencuri perhatian pembeli dalam pasaran yang semakin padat dengan pesaing yang rata rata menawarkan spesifikasi tinggi pada harga yang sangat berdayasaing.

Dari aspek teknologi, IONIQ V dilengkapi paparan panoramik 4K bersaiz 27 inci serta Horizon head-up display (H-HUD). Ruang dalamannya turut dikuasakan oleh Pembantu AI Pintar berasaskan model bahasa besar (LLM) dengan cip Qualcomm Snapdragon 8295, membolehkan kawalan suara yang lebih pantas dan semula jadi. Bagi aspek pemanduan, varian jarak jauh model ini mampu bergerak melebihi 600 km (standard CLTC) dengan sekali cas.

Strategi baharu ini turut melibatkan pelaburan bersama sebanyak 8 bilion yuan antara Hyundai dan BAIC Group ke dalam usaha sama Beijing Hyundai. Pelaburan ini akan menyokong pelancaran 20 model baharu dalam tempoh lima tahun akan datang, merangkumi kenderaan elektrik bateri (BEV) dan kenderaan elektrik julat lanjutan (EREV).

Bagi meningkatkan keyakinan pengguna, Hyundai memperkenalkan dasar “Satu Harga” yang telus di semua saluran jualan. Selain itu, syarikat turut memperkukuh kerjasama dengan rakan teknologi tempatan seperti CATL untuk teknologi bateri dan Momenta bagi pembangunan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).

Melalui pelan komprehensif ini, Beijing Hyundai menyasarkan jualan tahunan sebanyak 500,000 unit, dipacu oleh pertumbuhan dalam pasaran domestik China serta pengembangan peluang eksport ke peringkat global.

Leave a comment