BMW Malaysia Kemas Kini BMW XM Label: Kini Varian Tunggal Dengan Prestasi 748 HP, Harga Bermula RM1.55 Juta

KUALA LUMPUR – BMW Malaysia telah mengemas kini penawaran BMW XM Label bagi tahun 2026 yang kini menjadi varian tunggal untuk barisan model XM di pasaran tempatan. Model Sports Activity Vehicle (SAV) berprestasi tinggi ini menerima perubahan dari segi pilihan warna, kelengkapan standard, serta penambahbaikan pada sistem casis dan keselesaan kabin.

BMW XM Label kekal menggunakan sistem BMW M Hybrid yang menggabungkan enjin 4.4 liter M TwinPower Turbo V8 dengan motor elektrik. Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan 748 hp dan tork puncak 1,000 Nm, membolehkan pecutan 0–100 km/j dalam masa 3.8 saat. Jarak pemanduan elektrik sepenuhnya pula mencecah 83 kilometer berdasarkan kitaran WLTP.

Antara pembaharuan utama adalah pengenalan empat warna BMW Individual Frozen iaitu Frozen Tanzanite Blue, Frozen Marina Bay Blue, Frozen Black, dan Frozen Brilliant White. Bahagian luaran turut diperkemaskan dengan Welcome Light Carpet yang menampilkan animasi baharu serta penggunaan rim aloi M bersaiz 23 inci dalam kemasan hitam berkilat.

Ruang dalaman kini menawarkan pilihan kulit BMW Individual Merino dalam warna Night Blue, Silverstone, Deep Lagoon, atau Black. Kesemua pilihan warna ini disertakan dengan kusyen keselesaan sebagai ciri standard untuk meningkatkan suasana mewah di bahagian M Lounge.

Dari aspek teknikal, keupayaan pengecasan AC telah ditingkatkan kepada 11 kW (tiga fasa) menerusi sistem AC Charging Plus yang membolehkan bateri voltan tinggi dicas penuh dalam masa kurang tiga jam. Jurutera BMW turut menala semula casis untuk maklum balas pemanduan yang lebih baik, di samping menambah penebat akustik bagi mengurangkan kadar kebisingan di dalam kabin.

Setiap pembelian disertakan dengan pakej BMW Proactive Care dan program BMW Service & Repair Inclusive (BSRI) yang merangkumi waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun serta pakej servis lima tahun atau 100,000 km. Bateri voltan tinggi pula dilindungi oleh waranti selama lapan tahun.

Harga jualan bagi BMW XM Label bermula daripada RM1,554,800 manakala varian yang disertakan dengan pakej BMW Service & Repair Inclusive dijual pada harga RM1,650,500 (atas jalan, tanpa insurans). Pelanggan juga boleh memanfaatkan program pembiayaan dengan ansuran bulanan bermula RM18,415 berdasarkan margin pembiayaan 80 peratus.

Leave a comment