KUALA LUMPUR – Data terbaharu Persatuan Automotif Malaysia (MAA) bagi Mac 2026 mendedahkan satu anjakan realiti yang perlu diperhatikan.
Walaupun Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) meningkat 21% berbanding Februari, perbandingan tahun-ke-tahun menunjukkan penurunan jualan sebanyak 13%, manakala angka pengeluaran jatuh lebih mendalam pada kadar 17%.
Bagi kami di Electronikar, angka ini bukan sekadar statistik musim perayaan, tetapi gambaran jelas tindakbalas awal pasaran kepada beberapa peralihan polisi domestik dan tekanan geopolitik global yang semakin mencabar.
MAA menjangkakan April sebagai bulan penyelarasan semula. Di sebalik alasan “cuti panjang,” kami melihat fasa ini sebagai waktu untuk pasaran mencari titik keseimbangan baharu berdasarkan beberapa faktor, termasuk penyelarasan semula perbezaan antara stok dan permintaan akibat cuti panjang dan penutupan kilang untuk selenggara.
Awan Mendung Geopolitik di Asia Barat juga mula memberi kesan kepada keyakinan pembeli tempatan. Harga minyak Brent yang melonjak melepasi paras $130/bbl telah mencetuskan kebimbangan mengenai inflasi yang berpunca dari faktor bekalan.

Kebimbangan inflasi juga mendorong pembeli supaya lebih berhati-hati. Apabila kos sara hidup dijangka meningkat akibat kenaikan harga bahan api dan logistik global, komitmen besar seperti membeli kereta baharu mula diletakkan sebagai keutamaan kedua.
Satu lagi faktor yang mungkin menjadi pemangkin pasaran mendatar ialah penantian pembeli terhadap perubahan yang akan dibawa oleh Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026. Bermula 1 Jun ini, kaedah faedah Rule of 78 akan dimansuhkan dan diganti dengan kaedah Baki Berkurang (Reducing Balance). Pembeli yang bijak kewangan kini lebih rela menangguhkan pendaftaran kenderaan mereka sehingga Jun untuk menikmati kontrak pinjaman yang lebih adil dan telus.
Walaupun terdapat risiko kenaikan harga akibat pelaksanaan kiraan baru Nilai Pasaran Terbuka (OMV) setinggi 30% dalam kiraan paling teruk, ada kemungkinan pembeli sudah lali dengan risiko tersebut yang mula membayangi pasaran sejak 2020.

Pembeli dilihat mula meyakini janji kerajaan akan terus mencari jalan untuk menstabilkan harga kereta rakyat, sekali gus mengurangkan tekanan untuk “beli sekarang.”
Setelah memecahkan rekod TIV pada 2025, tahun 2026 dilihat sebagai tahun di mana pasaran kembali ke kadar lazim. Lebihan permintaan (pent-up demand) pasca-pandemik sudah semakin lega dan kita boleh melihat angka TIV bulan Mac sebagai cerminan kepada tahap tabii pasaran Malaysia yang sudah lima tahun berada di sekitar 72,000 unit sebulan.
Kesimpulan Electronikar
Pasaran automotif Malaysia kini berada di persimpangan yang unik. Antara ketidakpastian harga akibat OMV, perubahan sistem pembiayaan domestik, dan ancaman kos tenaga global, pengguna kini lebih banyak mengambil sikap tunggu dan lihat.
April bukan sekadar bulan yang sepi selepas keriuhan Raya, tetapi ia adalah fasa di mana semua pihak—daripada pengilang hingga ke pembeli—sedang melakukan penyelarasan semula jangkaan mereka sebelum melangkah ke separuh kedua tahun ini.
