BEIJING – Lupakan sejenak pelancaran SUV baharu. Tumpuan utama Chery di Auto China 2026 minggu depan bakal terarah kepada AiMOGA — sebuah robot humanoid yang menjadi nadi kepada hala tuju baharu jenama itu.
Minat jenama automotif sekarang jelas menjurus ke arah robot humanoid dan Chery dilihat tidak mahu ketinggalan dalam anjakan ini dan mengambil keputusan untuk menciptas semula syarikat sebagai pembekal ekosistem teknologi.

Bukan Sekadar Gimik: Robot Kawal Trafik?
Di China, robot AiMOGA ini sudah pun mula digunakan dalam situasi dunia nyata. Antara tugas yang dijalankan termasuklah menjadi “pegawai trafik” di kawasan sekolah yang sibuk untuk menghentikan kenderaan dan membantu murid melintas dengan selamat.
Mesej yang ingin disampaikan oleh Chery adalah mudah: Teknologi robotik mereka sudah cukup matang untuk berinteraksi dengan manusia dan kenderaan secara selamat.
Sinergi “Automobile + Robot”
Mungkin ada yang bertanya, apa kaitan robot humanoid dengan kereta keluarga? Chery ingin membawa konsep “Automobile + Robot” ke tahap baharu:
Kongsi Otak AI: Teknologi kecerdasan buatan yang membolehkan AiMOGA bergerak dan membuat keputusan akan diintegrasikan terus ke dalam sistem pemanduan pintar kenderaan Chery.
Ekosistem Pintar: Di bawah hala tuju baharu ini, robot ini bukan sahaja akan berada di bilik pameran untuk membantu pelanggan, tetapi dirancang untuk menjadi sebahagian daripada kehidupan harian keluarga modern.

Penyelarasan Semula Haluan Jenama
Peralihan kepada integrasi robotik ini adalah sebahagian daripada penyelarasan semula falsafah global Chery. Di Beijing nanti, mereka akan memperincikan bagaimana tiga tonggak utama — keselesaan ruang, keselamatan menyeluruh, dan interaksi pintar — akan disatukan melalui teknologi robotik ini.
Fokus mereka kini beralih daripada sekadar menjual produk, kepada membina nilai jangka panjang melalui pengalaman mobiliti keluarga yang lebih luas.
Kesimpulan Electronikar
Langkah Chery membawa robot humanoid ke pentas automotif dunia adalah satu percubaan berani untuk mengubah minda pembeli. Persaingan bukan lagi tentang siapa yang mempunyai enjin paling besar, tetapi siapa yang mempunyai ekosistem paling pintar.
Selepas Beijing kami akan cuba membawa lebih banyak maklumat mengenai perubahan ini.


