BYD Sasarkan 130 Titik Flash Charging Menjelang 2027, Bermula di Balakong, Glenmarie dan Old Klang Road

KUALA LUMPUR, 19 November 2026 – BYD Malaysia hari ini secara rasmi memperkenalkan teknologi pengecasan ultra-pantas BYD Flash Charging di pasaran tempatan, dengan pengoperasian awal di tiga bilik pameran mewah DENZA di Balakong, Glenmarie dan Old Klang Road. Langkah ini menandakan fasa baharu dalam usaha memperkukuh ekosistem kenderaan elektrik (EV) di Malaysia melalui gabungan teknologi pengecasan berkuasa tinggi dan ciri reka bentuk mesra pengguna.

Menurut Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, pengenalan sistem ini bermula dengan pelanggan DENZA sebelum dibuka kepada semua pemilik EV, manakala pemilik DENZA D9 Prestige AWD dan Z9GT yang serasi boleh menikmati pengecasan dari 10% hingga 97% dalam masa 9 minit sahaja. Beliau menegaskan bahawa inisiatif tersebut bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, tetapi bertujuan mengurangkan masa menunggu ketika mengecas agar pengguna dapat menikmati perjalanan dengan lebih lancar.

Reka Bentuk Rel Tergantung & Kuasa Sehingga 1,500 kW

Keunikan utama BYD Flash Charging terletak pada penggunaan World’s First Sliding Rail Suspended T-Type Charging Pile, iaitu struktur overhead berbentuk T yang menyokong kabel pengecasan secara tergantung di atas lantai. Sistem rel gelongsor membolehkan kabel bergerak dari sisi ke sisi tanpa berselerak di ruang parkir, manakala zero-gravity charging gun dan muncung pengecas yang direka lebih ringan memudahkan pengendalian harian.

Dari sudut teknikal, sistem ini mampu menyalurkan kuasa pengecasan sehingga 1,500 kW daripada satu gun pengecasan tunggal. Ia juga dilengkapi sistem simpanan tenaga bersepadu (BESS) bagi menyokong pengecasan berkuasa tinggi di lokasi yang mempunyai had kapasiti grid setempat, sekali gus membantu mengatasi kekangan infrastruktur ketika rangkaian pengecasan pantas terus dikembangkan.

BYD membawa tanda pagar “Ready in 5 Minutes, Full in 9 Minutes” bagi menggambarkan keupayaan pengecasan ultra-pantas ini pada kenderaan yang dilengkapi teknologi keserasian yang sepadan di bawah keadaan optimum. Masa pengecasan sebenar tertakluk kepada keserasian kenderaan serta keadaan semasa proses pengecasan.

Peluasan Rangkaian & Keistimewaan Pemilik DENZA

Selepas memulakan operasi di tiga bilik pameran DENZA di Lembah Klang, BYD Malaysia merancang untuk meluaskan rangkaian Flash Charging secara berperingkat ke bilik pameran DENZA terpilih mulai Disember 2026, serta ke cawangan BYD terpilih di seluruh negara termasuk perancangan hab Solar-Powered Flash Charging pada masa hadapan.

Berdasarkan momentum memorandum persefahaman (MoU) yang diumumkan pada bulan lalu, BYD Malaysia menyasarkan 12 titik Flash Charging beroperasi menjelang akhir tahun 2026 dan meningkat kepada 130 titik di seluruh negara menjelang akhir 2027, menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan, pengendali titik pengecas (CPO) tempatan dan rakan perniagaan.

Sempena pelancarannya, BYD Malaysia menawarkan pengecasan BYD Flash Charging percuma selama satu tahunkepada pemilik sedia ada dan baharu DENZA Z9GT serta DENZA D9 Prestige AWD:

  • Sehingga 8 Disember 2026: Pemilik DENZA dengan kenderaan berbekalkan BYD Second Generation Blade Battery boleh terus memandu masuk ke kemudahan yang beroperasi di Balakong, Glenmarie dan Old Klang Road, palam dan cas tanpa perlu memuat turun aplikasi, mendaftar atau membuat tetapan awal.
  • Mulai 9 Disember 2026 hingga 31 Disember 2027: Akses pengecasan percuma ini akan beralih kepada penggunaan BYD Flash Charging App di fasiliti yang beroperasi.

Konteks Sasaran Nasional & Impak Terhadap Peralihan EV

Langkah BYD ini hadir pada saat pasaran EV Malaysia sedang meneliti jurang antara pertumbuhan jualan kenderaan elektrik dan kelajuan penyediaan infrastruktur. Kerajaan menetapkan sasaran 30,000 titik pengecas awam menjelang 2030 — selepas sasaran awal 10,000 unit pada akhir 2025 ditutup pada paras 5,624 unit — seiring dengan aspirasi mencapai 20% bahagian jualan kenderaan baharu menjelang 2030.

Sehingga akhir September 2026, jumlah titik pengecas awam yang dilaporkan berada pada sekitar 7,341 unit(merangkumi pengecas AC dan DC), bermakna laluan ke arah 30,000 titik masih memerlukan peningkatan kadar pemasangan yang konsisten serta pengukuhan ketersediaan pengecas pantas di koridor lebuhraya dan kawasan luar bandar.

Dalam konteks ini, sasaran 130 titik Flash Charging menjelang 2027 mungkin kelihatan kecil secara angka berbanding sasaran nasional 30,000 unit, namun impak kualitatifnya terletak pada pusing ganti petak pengecasan yang lebih pantas serta penggunaan sistem simpanan tenaga bersepadu untuk mengurangkan kebergantungan langsung kepada kapasiti grid sedia ada. Jika disokong oleh ketersediaan kenderaan yang serasi dan peluasan di luar hab bandar utama, teknologi pengecasan ultra-pantas berpotensi mengurangkan kebimbangan mengenai masa menunggu pengecasan dan menyokong momentum peralihan ke arah mobiliti elektrik.

One thought on “BYD Sasarkan 130 Titik Flash Charging Menjelang 2027, Bermula di Balakong, Glenmarie dan Old Klang Road”

Leave a Reply