BENTONG: Memastikan tangan kekal pada hendal dan tumpuan mata tidak beralih daripada jalan raya kini menjadi keutamaan keselamatan yang semakin mendesak, seiring peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang bergantung kepada motosikal untuk perjalanan harian serta pekerjaan penghantaran ekonomi gig.

Bagi menangani risiko penunggang yang terpaksa mengendalikan telefon pintar pada pemegang hendal untuk tujuan navigasi dan panggilan pelanggan, pakar komunikasi motosikal LEXIN Malaysia memperkenalkan interkom topi keledar Bluetooth peringkat permulaan yang disasarkan khusus buat penunggang harian dan penghantar makanan atau bungkusan (p-hailing).

Dilancarkan pada perhimpunan penunggang motosikal di Bentong semalam, barisan produk baharu itu diterajui oleh LEXIN Zen One pada harga RM98—meletakkan fungsi navigasi suara bebas tangan dan pengurusan panggilan sebagai keperluan keselamatan yang mampu milik, berbanding aksesori mewah untuk penunggang jelajah (touring).

Menurut LEXIN, penggunaan telefon pintar kekal sebagai sebahagian daripada rutin tunggangan moden sama ada untuk panduan arah GPS, menghubungi keluarga, mahupun penyelarasan pesanan dalam kalangan pekerja p-hailing. Integrasi sistem audio terus ke dalam topi keledar membolehkan penunggang mendengar arahan selok-belok jalan dan menjawab panggilan tanpa melepaskan kawalan hendal.

Ketua Pegawai Eksekutif LEXIN, Jacky Hong berkata penunggang motosikal di Malaysia menghabiskan tempoh masa yang panjang di atas jalan raya untuk urusan kerja mahupun riadah, menjadikan komunikasi yang jelas dan boleh diharap sebagai keperluan penting setiap hari.

Bagi memenuhi tuntutan kegunaan komersial harian, Zen One dilengkapi binaan kalis air, sistem pembatalan hingar digital bagi mengekalkan kejelasan suara pada kelajuan lebuh raya, sokongan pembantu suara, serta ketahanan bateri sehingga 25 jam.

Di samping model khusus untuk kegunaan harian itu, syarikat berkenaan turut memperkenalkan dua lagi model spesifikasi lebih tinggi bagi segmen riadah dan konvoi jarak jauh iaitu G2 EVO (RM258) yang menyokong sambungan audio Bluetooth berkembar dengan jarak liputan 1.2 kilometer, serta model mercu MTX Trico (RM498) dengan teknologi Mesh 3.0 yang mampu menghubungkan sehingga 24 penunggang pada jarak 2 kilometer.


Kesemua unit tersebut mendapat pensijilan piawaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta dilindungi jaminan pengilang selama dua tahun dengan sokongan penggantian satu-dengan-satu di pengedar sah seluruh negara.
