KUALA LUMPUR, 19 November 2026 – DENZA Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan DENZA D9 Prestige AWD baharu pada harga jualan disyorkan RM345,800 (tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran). MPV mewah elektrik ini tampil dengan pakej naik taraf menyeluruh merangkumi kemasan kabin lebih halus, sistem hiburan penumpang dipertingkat, suspensi pintar baharu serta sokongan pengecasan ultra-pantas BYD Flash Charging.

Bagi BYD, teknologi teras dianggap sebagai sesuatu yang wajar dinikmati oleh semua barisan modelnya, daripada kenderaan peringkat permulaan sehinggalah ke segmen paling mewah. Justeru, pelancaran DENZA D9 Prestige AWDmenjadikannya model pertama yang membawa BYD Second Generation Blade Battery (Blade 2) ke pasaran tempatan dengan keupayaan mengecas pada kelajuan ultra-pantas.
Menurut Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, setiap penambahbaikan pada D9 Prestige AWD baharu dirangka berteraskan pengalaman pengguna — daripada keselesaan kabin hinggalah kepada teknologi dan kemudahan perjalanan jauh bagi keluarga mahupun eksekutif korporat.

Pengecasan 10%–70% Dalam 5 Minit & Bateri 115.07 kWh
Digandingkan dengan infrastruktur BYD Flash Charging yang kini mula beroperasi di Malaysia, DENZA D9 Prestige AWD mampu mengecas dari 10% hingga 70% dalam masa 5 minit dan dari 10% hingga 97% dalam masa 9 minit di bawah keadaan optimum. Keupayaan ini sekali gus memendekkan masa menunggu di stesen pengecas dan menjadikan perjalanan jarak jauh lebih praktikal.

Dari sudut prestasi, sistem pacuan elektrik semua roda (AWD) MPV ini menjana kuasa sehingga 410 kW (557 PS) dan tork 445 Nm, dipadankan dengan pek bateri berkapasiti 115.07 kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 650 km (NEDC). Pengendalian dan keselesaan pemanduan turut diperkukuh menerusi sistem redaman pintar Dual-valve DiSus-C serba baharu yang melaraskan tindak balas suspensi mengikut keadaan permukaan jalan.
Kabin Lebih Mewah & Praktikal Untuk Keluarga
Menjengah ke ruang dalaman, DENZA D9 Prestige AWD menampilkan balutan Kulit Nappa bersama kerusi baris kedua larasan kuasa 14-arah yang dilengkapi fungsi urutan 16-titik. Kedua-dua baris kedua dan ketiga kini hadir dengan fungsi pengudaraan (ventilation) serta pemanas, manakala kerusi baris ketiga turut mendapat larasan kuasa 4-arah.


Ciri hiburan dan kemudahan kabin merangkumi:
- Sepasang skrin multimedia 12.8-inci baharu untuk penumpang baris kedua.
- Sistem audio premium Devialet® 16-pembesar suara.
- Interaksi suara enam zon, unjuran realiti terimbuh (AR) untuk pintu belakang elektrik dan pintu gelongsor, serta tuil penukar gear jenis column-mounted.
- Ruang kargo sehingga 2,436 liter (termasuk 689 liter apabila semua kerusi ditegakkan) di samping ruang simpanan bawah lantai tambahan berkapasiti 126 liter.

Dari segi keselamatan, kelengkapan standard merangkumi rangkaian sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Intelligent Cruise Control (ICC) dan Emergency Lane Keeping Assist (ELKA), serta penambahan beg udara tengah hadapan yang menjadikan jumlah keseluruhan sembilan beg udara.
Pilihan Warna & Pakej Pemilikan

DENZA D9 Prestige AWD ditawarkan dalam empat warna luaran — Arctic White, Cosmos Black, Whale Blue Sea(dipadankan secara eksklusif dengan kabin berwarna Brown) serta warna baharu Starry Night Grey yang dipadankan secara eksklusif dengan kemasan dalaman berwarna Black.

Setiap pembelian disertakan pakej pemilikan standard berikut:
- 1 tahun pengecasan percuma BYD Flash Charging (akses tanpa aplikasi di bilik pameran DENZA beroperasi sehingga 8 Disember 2026, sebelum beralih ke aplikasi BYD Flash Charging sehingga 31 Disember 2027).
- Jaminan kenderaan 6 tahun atau 150,000 km.
- Servis penyelenggaraan berjadual percuma selama 6 tahun.
- Jaminan bateri voltan tinggi 8 tahun atau 160,000 km (SOH ≥ 72.5%).
- Jaminan unit pacuan elektrik 8 tahun atau 160,000 km.

Pelanggan yang membuat tempahan selewat-lewatnya pada 31 Disember 2026 turut menerima pakej DENZA Care+bernilai RM7,088 secara percuma, yang melanjutkan jaminan bateri voltan tinggi sebanyak 2 tahun atau 40,000 kmmenjadikan jumlah perlindungan sehingga 10 tahun atau 200,000 km.
Model ini kini sedia untuk tontonan dan pandu uji di bilik pameran mewah DENZA di seluruh negara termasuk Balakong, Glenmarie, KLCC, KL North, Old Klang Road, Melaka, Pulau Pinang dan Skudai.















