KUALA LUMPUR — Petron Malaysia rasmi diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) kerana memiliki jumlah stesen minyak terbanyak yang berjaya merangkul penarafan kebersihan tandas 4-bintang dan 5-bintang daripada pihak berkuasa tempatan.

Kejayaan ini adalah hasil usaha berterusan sejak kempen “Tandas Kita Bersih” dilancarkan pada 2018, disokong erat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta komitmen jitu para pengusaha stesen Petron. Berdasarkan penilaian, sebanyak 560 stesen Petron (merangkumi 86% rangkaian pada pertengahan 2025) telah mencapai penarafan tinggi itu, dan kini angka tersebut meningkat kepada 91%.

Menteri KPKT, YB Nga Kor Ming memuji pencapaian ini, menyifatkan Petron sebagai contoh cemerlang bagaimana kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta mampu mengangkat kualiti kemudahan awam harian rakyat sejajar dengan inisiatif tandas Bersih, Menawan dan Wangi (BMW). Petron kini memiliki lebih 830 stesen di seluruh negara.
