SHAH ALAM — DRB-HICOM Auto Solutions Sdn. Bhd. (DHAS) merangkul pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records bagi kategori “Pelaksanaan Sistem Penjejakan Kenderaan Pintar Dalam Kilang Terbesar” menerusi platform digital tempatan mereka, Sistem Penjejakan Kenderaan DHAS (DVTS).

Sistem buatan sendiri ini menggunakan teknologi rangkaian kawasan luas jarak jauh (LoRaWAN), peranti penjejakan ber-GPS, pengezonan geografi (geofencing), serta pemantauan digital berpusat bagi mengoptimumkan pengurusan pergerakan kenderaan di kawasan logistik mereka. Inovasi ini telah mengurangkan pergantungan kepada proses manual serta mempercepatkan proses penghantaran kenderaan kepada pelanggan.
Sistem ini telah diimplementasikan di Pusat Pemprosesan Kenderaan DHAS di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) seluas 33 ekar serta di Pekan, Pahang. Ketua Pegawai Eksekutif DHAS, Fawzi Ahmad berkata pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan syarikat dalam memperkasakan keupayaan logistik automotif menerusi solusi digital bersepadu.

