Setia Awan Land melancarkan Tanjong Malim Hi-Tech Park, sebuah pembangunan industri seluas 447 ekar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.4 bilion.
Projek industri pertama oleh Setia Awan Land itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, dan terletak berhampiran Proton City serta koridor Automotive High-Tech Valley (AHTV).
Pembangunan berkenaan menyasarkan pelbagai sektor termasuk pengilang, syarikat teknologi, pembekal automotif dan penyedia perkhidmatan logistik, sejajar dengan perkembangan ekosistem industri berteknologi tinggi di kawasan Tanjong Malim.

Fasa pertama pembangunan meliputi kawasan seluas 104 ekar dan menawarkan lot tanah industri bermula daripada lima ekar untuk tujuan jualan dan pajakan. Fasa ini kini mencatatkan kadar pengambilan sebanyak 50 peratus, dengan beberapa pelabur telah disahkan, termasuk Ningbo Fresh Technology Co., Ltd. dan Sheentech Automotive Systems Sdn. Bhd.
Selain kawasan industri, projek itu turut merangkumi Ionera, komponen komersial seluas 27 ekar yang menempatkan 168 unit komersial bagi memenuhi keperluan sektor makanan dan minuman (F&B) serta perkhidmatan. Ionera setakat ini telah menerima lebih 100 pendaftaran dan tempahan, manakala Billion Group telah disahkan sebagai penyewa utama. Beberapa memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai dengan pihak lain.
Dari segi sokongan kepada mobiliti elektrik, Tanjong Malim Hi-Tech Park juga akan dilengkapi infrastruktur pengecasan EV menerusi kerjasama dengan beberapa penyedia pengecasan. Infrastruktur berkenaan dijangka menyediakan kapasiti pengecasan gabungan sehingga 5 megawatt.
Dengan kedudukannya berhampiran Proton City dan AHTV, Tanjong Malim Hi-Tech Park dilihat sebagai satu lagi komponen dalam usaha membangunkan ekosistem industri automotif dan teknologi di kawasan tersebut.
