Perodua dan Bank Rakyat lancar kad kredit perbelanjaan automotif pertama

Perodua dan Bank Rakyat hari ini melangkah setapak lagi dalam memperkukuh ekosistem automotif tempatan apabila kedua-dua jenama memeterai kerjasama strategik menerusi pelancaran Perodua-Bank Rakyat Credit Card-i, kad kredit Islamik pertama yang direka khusus untuk menampung perbelanjaan berkaitan automotif.

Kolaborasi ini diumumkan di Kuala Lumpur, menandakan kali pertama Perodua berganding bahu dengan institusi perbankan untuk memperkenalkan kad kredit berjenama bersama. Kad kredit-i ini dibangunkan bagi memenuhi keperluan pemilikan kenderaan moden dengan menawarkan pelbagai ganjaran gaya hidup dan perlindungan kewangan yang menyeluruh.

Antara keistimewaan utama yang dibawakan termasuklah pemberian 5x mata ganjaran untuk perbelanjaan yang merangkumi pengisian bahan api, pengecasan kenderaan elektrik (EV), kos penyelenggaraan kenderaan, serta pembelian perlindungan takaful. Selain itu, pemegang kad turut menikmati kemudahan 0% yuran transaksi luar negara dan tiada yuran tahunan.

Aspek keselamatan dan kebajikan pemilik turut diberi perhatian menerusi perlindungan takaful percuma untuk baki tertunggak sehingga RM300,000 (bagi pemegang berusia sehingga 70 tahun), berserta bantuan Khairat Kematian sebanyak RM1,000. Semua mata ganjaran yang terkumpul boleh ditebus dan diuruskan dengan mudah terus melalui aplikasi mudah alih rasmi Perodua, P-Circle, di mana reka bentuk fizikal kad ini juga diinspirasikan daripada model konsep Perodua QV-E serta watak TIRA daripada filem animasi di dalam aplikasi tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad menyifatkan kerjasama ini sebagai satu pencapaian penting kerana ia membuka lembaran baharu dalam usaha memperluaskan nilai tambah bersama institusi kewangan Islam. Sentimen tersebut turut dikongsi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff, yang melihat inisiatif ini selaras dengan aspirasi “For All” untuk menawarkan penyelesaian kewangan yang inklusif dan relevan kepada seluruh lapisan masyarakat.

Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai syarat permohonan boleh mengunjungi mana-mana cawangan jualan dan servis Perodua atau cawangan Bank Rakyat yang berhampiran.

Leave a Reply