KUALA LUMPUR, 11 September 2026 – Gergasi kenderaan tenaga baharu (NEV) dari China, BYD, mengesahkan komitmen jangka panjangnya di pasaran Malaysia dengan perancangan meluaskan rangkaian pengedar dan memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD).

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, mengesahkan bahawa BYD tidak akan meneruskan cadangan pembinaan kilang sendiri di Tanjung Malim. Sebaliknya, syarikat kini berada dalam fasa perbincangan akhir bersama rakan kongsi tempatan untuk menjalankan pengeluaran tempatan, dengan sasaran memuktamadkan perjanjian tersebut sebelum penghujung tahun ini.
Kerjasama CKD Bersama Inokom di Kulim?
Kenyataan Jacob Ma selari dengan pendedahan yang dibuat oleh Liu Xueliang, Naib Presiden BYD Co. Ltd. merangkap Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto Asia Pasifik BYD, dalam satu temu bual bersama media perniagaan sebelum ini.
Menambah keyakinan terhadap momentum pengeluaran tempatan ini, Pengarah Urusan Sime Motors Asia Tenggara, Jeffrey Gan, menegaskan bahawa segala urusan pelaksanaan perancangan CKD ini sedang berjalan mengikut tempo yang pantas atau “BYD speed”.

Metafora “BYD speed”—yang sinonim dengan kecekapan gergasi automotif China tersebut dalam membangunkan platform dan jentera baharu—menandakan bahawa Sime Darby Motors dan BYD tidak membuang masa untuk memuktamadkan perjanjian pemasangan serta memulakan pengeluaran talian CKD sebelum tempoh sasaran penghujung tahun ini.
Spekulasi industri kini bertumpu kuat kepada Inokom Corporation di Kulim, Kedah sebagai hab pemasangan CKD BYD di Malaysia. Desas-desus ini diperkukuhkan oleh beberapa faktor utama:

- Pelaburan RM300 Juta: Pengumuman pembinaan kedai cat (paint shop) baharu berskala besar di fasiliti Inokom.
- Lawatan Pengurusan: Kunjungan hormat pengurusan dan pasukan teknikal Inokom ke ibu pejabat BYD di Shenzhen.
- Hubungan Strategik: Hubungan erat antara BYD dan Sime Darby (pengedar utama menerusi BYD Sime Auto), yang juga merupakan pemegang saham utama dalam fasiliti Inokom.

Mengenai potensi mengimport model CBU dari kilang BYD di Indonesia—yang mempunyai kapasiti pengeluaran 150,000 unit setahun—Jacob Ma menjelaskan bahawa fokus utama kekal pada projek CKD tempatan, namun import CBU dari Indonesia tidak ditolak sekiranya terdapat permintaan tinggi bagi model tertentu yang tidak dipasang di Malaysia.
Status Stok & Persiapan Program CKD

Isu bekalan unit turut menjadi perhatian pihak media susulan aduan beberapa pengedar berhubung isu kekurangan stok bagi sesetengah model popular. Timbul kebimbangan sekiranya program CKD lambat bermula, rangkaian bilik pameran bakal menghadapi kehabisan inventori.
Menjawab isu ini, Pengarah Urusan BYD Sime Motors, Adeline Lew, mengesahkan bahawa bekalan stok semasa adalah “mencukupi tetapi terhad” (adequate but limited).
Di pihak Electronikar, penjelaskan ini memberi petunjuk bahawa walaupun bekalan unit CBU semakin menguncup, pegangan stok semasa dipantau secara ketat untuk menampung pasaran sementara program CKD memuktamadkan fasa persediaannya dalam masa terdekat.
Pelaburan Warisan: BYD Mansion Macalister Penang

Pengukuhan jenama ini di Malaysia turut diperlihatkan menerusi pembukaan pelaburan bernilai jutaan ringgit bagi bilik pameran utama (flagship) BYD Mansion Macalister di Pulau Pinang.
Premis yang mengadaptasi bangunan warisan bersejarah ini dirasmikan secara rasmi oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow, yang memuji usaha BYD Sime Auto memelihara seni bina warisan tempatan di Georgetown—sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Model Hibrid (PHEV) Bakal Memasuki Pasaran CKD?
Apabila ditanya mengenai peluang memulakan pengeluaran model hibrid atau Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) menerusi talian CKD, pihak pengurusan tidak menafikan perkara tersebut. Ini memberi bayangan kukuh bahawa teknologi Super DM (DM-i / DMO) BYD bakal diperkenalkan di Malaysia.

Antara model PHEV Pemanduan Sebelah Kanan (RHD) yang berpotensi ditawarkan termasuk:
- BYD Sealion 6 DM-i: C-SUV PHEV yang dijana enjin 1.5L petrol dan motor elektrik dengan bateri Blade. Model ini telah menempa kejayaan di pasaran RHD serantau seperti Thailand dan Australia.
- BYD Seal 6 DM-i / Qin L DM-i: D-Segment sedan PHEV yang menawarkan jarak pemanduan gabungan melebihi 1,000 km.
- BYD Shark 6: Trak pikap PHEV berasaskan platform DMO yang sedia ada dalam versi RHD bagi pasaran Oceania dan Asia Tenggara.
Jejak Langkah BYD di Malaysia

Sebelum mendominasi segmen kenderaan penumpang, BYD memulakan tapak awal di Malaysia sejak tahun 2014menerusi pembekalan bas elektrik tulen bagi projek BRT Laluan Sunway bawah Prasarana.
BYD secara rasmi melancarkan segmen kenderaan penumpang pada Disember 2022 menerusi pelancaran BYD Atto 3. Sehingga kini, BYD telah merekodkan pendaftaran kumulatif melebihi 34,000 unit di Malaysia, dengan BYD Atto 3kekal sebagai model EV paling popular di dalam negara dengan lebih 13,000 unit terpapar di jalan raya. Penguasaan ini mengukuhkan kedudukan BYD sebagai peneraju utama pasaran kenderaan elektrik (BEV) tempatan.
