Proton Mula Program Pemasangan Tempatan e.MAS 7 PHEV di Tanjong Malim. Kandungan Tempatan 30 Peratus

Tak sampai tujuh bulan selepas pelancaran e.MAS 7 PHEV, Proton terus membuat keputusan untuk memulakan proses pemasangan tempatan (CKD) bagi model ini di kilang mereka di Tanjong Malim.

Kenderaan pemasangan tempatan model e.MAS 7 PHEV pertama telah dilahirkan di kilang khas kenderaan tenaga baharu Proton di Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), disaksikan oleh Menteri MITI, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Timbalan Menteri MITI, Sim Tze Tzin, serta barisan pengurusan tertinggi termasuk Pengerusi PROTON, Tan Sri Syed Faisal Albar, CEO Proton, Dr. Li Chunrong, DCEO Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, CEO PRO-NET, Mr. Zhang Qiang, dan ahli media tempatan.

Kilang yang memakan pelaburan RM80 juta ini berkeupayaan memasang 20,000 unit kenderaan tenaga baharu dan kini memasang e.MAS 5, e.MAS 7, dan e.MAS 7 PHEV.

Antara teknologi baharu yang diperkenalkan di Tanjong Malim ialah pencantuman sistem pacuan elektrik dan hibrid—yang terdiri daripada bateri, tangki minyak, motor, enjin, dan sistem transmisi—ke badan kereta.

Proses ini menggunakan pelantar berautomasi yang membawa kumpulan komponen tenaga dan pacuan ke garis pemasangan sebelum dicantumkan. Ia merupakan antara proses paling kritikal dalam pembinaan kereta tenaga baharu dan memerlukan empat tenaga kerja terlatih selama 6 minit untuk memastikan ia dilakukan dengan betul.

Untuk model PHEV, Proton juga memulakan proses pemasangan tempatan komponen Dedicated Hybrid Transmission(DHT) di kilang enjin mereka di Tanjong Malim. Dengan pemasangan tempatan sistem transmisi hibrid ini, Proton berjaya mencapai kandungan tempatan melebihi 30 peratus, sekali gus menjadikan Tanjong Malim lokasi pertama di Malaysia yang menghasilkan sistem canggih ini.

Selain bateri dan motor elektrik, sistem pacuan PHEV ini dikuasai oleh teknologi hibrid maju EM-i (EM-i Advanced Hybrid Technology). Ia mengintegrasikan enjin pembakaran 1.5 liter yang berfungsi sebagai generator dengan motor elektrik. Enjin ini menggunakan kitaran Atkinson dan boleh mencapai kecekapan haba 46 peratus, menjadikannya enjin paling cekap haba di Malaysia.

Hasilnya, e.MAS 7 PHEV mencatatkan penggunaan bahan api serendah 4.3L/100km, jarak pemanduan EVsepenuhnya sehingga 170km, dan jarak tempuh gabungan mencecah 1,065 kilometer.

Bukan itu sahaja, sempena peluncuran CKD ini, PRO-NET turut memberikan penambahbaikan khas pada varian Premiumdan Premium Plus dengan penambahan kerusi dengan fungsi urut (front massage seats) untuk pemandu dan penumpang hadapan berdasarkan maklum balas pengguna.

Selain sistem pacuan ini, Proton juga menghasilkan 5 varian enjin 1.5 liter 4-silinder dalam beberapa aturan dan penghasilan kuasa bagi memenuhi keperluan pelbagai pasaran. Ini satu pencapaian yang cukup bagus untuk Proton yang sedang bangkit semula setelah sekian lama mengalami kemerosotan pasaran dan kelihatan “hidup segan, mati tak mahu”.

Semasa menyaksikan pengeluaran sulung ini, Menteri MITI, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengalu-alukan usaha sama Proton dan Geely, serta menggelar rakan dari China itu sebagai sahabat sebenar. Proton dipuji kerana mencapai kandungan tempatan setinggi 80 peratus untuk sesetengah model yang dikongsi bersama Geely.

Johari mengulangi saranan kerajaan untuk meningkatkan kandungan tempatan dalam semua industri sebagai satu cara untuk memastikan lebihan dagangan negara meningkat. Menurut beliau, kerajaan sentiasa menerima dengan tangan terbuka semua cadangan pelaburan yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia sambil meningkatkan ekosistem industri tempatan.

Peratusan kandungan tempatan adalah antara kayu ukur penting dalam industri automotif dan e.MAS 7 PHEV adalah model pertama yang mencecah sasaran awal ini. Kilang yang baru beroperasi sejak November 2025 ini kini hampir mencecah kapasiti maksimum kerana permintaan untuk model BEV dan PHEV semakin meningkat dan dijangka akan terus menjadi lebih popular pada masa akan datang.

Melihat kepada potensi ini, Proton mengumumkan pelaburan tambahan sebanyak RM37 juta untuk memperluaskan kilang pemasangan NEV di AHTV. Kami sendiri dapat melihat bangunan tambahan kilang kenderaan elektrik sedang dibina dan dijangka akan meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan daripada 20,000 unit kepada 42,000 unit dalam jangka masa terdekat bagi memenuhi peningkatan permintaan kenderaan tenaga baharu.

Melihat kepada angka pendaftaran 20,000 unit untuk untuk tujuh bulan pertama 2026, ada kemungkinan kapasiti tambahan ini juga mungkin digunakan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

Proton kini menguasai lebih 30 peratus pasaran kenderaan tenaga baharu di Malaysia dengan tiga model mampu milik yang mereka perkenalkan. Model e.MAS 7 PHEV pula lebih cemerlang, menguasai 47 peratus pasaran Plug-in Hybrid Electric Vehicle dengan lebih 4,500 pendaftaran sehingga bulan Jun 2026 dan jumlah tempahan melebihi 11,000 unit.

Secara keseluruhannya, Proton kini menyumbang 9,700 pekerjaan secara langsung (termasuk 391 tenaga kerja di kilang EV ini) dan menurut Johari, ia menyumbang lebih RM800 juta setahun dalam kutipan pelbagai cukai termasuk cukai korporat dan cukai jualan untuk 150,000 unit kenderaan yang dijual oleh syarikat.

Tiga model tenaga baharu yang diperkenalkan oleh Proton ini juga jelas menyumbang kepada pengurangan tapak karbon dan penjimatan 21.26 juta liter penggunaan bahan api petrol kebangsaan yang membantu kerajaan mengurangkan perbelanjaan subsidi sebanyak RM39.9 juta.

Kita perlu ingat ini adalah penjimatan kumulatif untuk tempoh 18 bulan sejak model EV pertama Proton diperkenalkan. Angka ini akan terus meningkat setiap tahun seiring peningkatan angka jualan kenderaan elektrik dan tenaga baharu di Malaysia.

Leave a Reply