Krisis Pasaran China: Mengapa Honda Dan GAC Lanjutkan Usaha Sama 12 Tahun Lagi Walaupun Kilang Dah Kurangkan Pengeluaran?

Lanjutan Kerjasama Di Tengah Tekanan Pasaran

Dunia automotif berada dalam tahap krisis sebenarnya, waima pasaran automotif terbesar dunia, China turut mengalami pengecutan drastik tahun ini akibat pelbagai faktor termasuk ketidaktentuan geopolitik dunia dan ini memaksa syarikat automotif untuk bergabung kuasa bagi melalui badai ini.

Di sebalik desas-desus berhubung rundingan yang dikatakan menemui jalan buntu, Honda dan GAC Group akhirnya memuktamadkan perjanjian untuk memanjangkan tempoh syarikat usaha sama mereka, GAC Honda, sehingga tahun 2038.

Perjanjian lanjutan ini mengekalkan pegangan ekuiti asal iaitu 50:50 antara kedua-dua belah pihak. Ditubuhkan sejak Julai 1998, GAC Honda merupakan usaha sama pertama Honda di China yang bertanggungjawab bagi pengeluaran dan jualan kenderaan, dengan pencapaian akumulatif melebihi 11 juta unit setakat ini.

Langkah memperbaharui komitmen ini diambil ketika pasaran automotif China—yang kini merupakan pasaran terbesar dunia—semakin sengit dengan dominasi pesat kenderaan elektrik (EV) serta teknologi pintar tempatan.

Jualan Separuh Pertama Merosot Lebih 55%

Keputusan sambungan kerjasama ini dibuat ketika GAC Honda berdepan tekanan jualan yang amat tinggi. Berdasarkan data terkini:

  • Jualan Bulan Jun: GAC Honda mencatatkan jualan 14,099 unit, merosot 53.03% berbanding tempoh sama tahun lalu.
  • Prestasi Separuh Pertama (H1): Jumlah jualan jatuh 55.82% kepada 68,318 unit sahaja.
  • Kemerosotan Pengeluaran: Angka pengeluaran kilang pada bulan Jun menyusut 83.22% (5,201 unit), manakala pengeluaran H1 merosot 49.85% kepada 82,884 unit.

Kemerosotan ini mencerminkan cabaran besar yang dihadapi oleh jenama usaha sama tradisional (joint-venture) dalam mempertahankan pegangan pasaran mereka berbanding jenama tempatan China.

Strategi ‘Pelamatan’: 3 Model Baharu Menjelang 2027

Bagi membina semula daya saing teras serta mempercepatkan transformasi ke arah Kenderaan Tenaga Baharu (NEV), Honda dan GAC bersetuju untuk menggabungkan kepakaran teknologi serta sumber masing-masing.

GAC Honda merancang untuk melancarkan 3 model baharu pada tahun 2027 yang merangkumi pelbagai segmen trenkuasa:

  1. Honda Accord Generasi Baharu: Model flagship yang dikemaskini bagi pasaran sedan.
  2. Model Hibrid i-MMD Generasi Ke-5: Menampilkan teknologi hibrid terbaharu daripada Honda.
  3. Model NEV Pembangunan Luaran: Model elektrik/NEV yang dibangunkan secara khusus berasaskan platform pasaran China.

Leave a Reply