Misteri Kemalangan Tesla Di Jalan Mati
Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan AS (NHTSA) baru-baru ini menerima empat laporan kemalangan baharu yang melibatkan kenderaan ujian sistem pemanduan autonomi (ADS) Tesla. Daripada empat kejadian tersebut, satu insiden di Houston yang berlaku pada bulan Mei lalu paling mencuri tumpuan ramai.
Berdasarkan laporan rasmi Tesla (Laporan 13781-15395), sebuah Model Y yang berfungsi sebagai Robotaxi dilaporkan tersangkut di sebuah jalan perumahan mati (dead-end residential road).
Melihatkan kenderaan itu tidak dapat navigasi keluar secara kendiri, bantuan telah diminta. Namun, berbanding membiarkan sistem kecerdasan buatan (AI) menyelesaikan masalah itu, giliran seorang operator kawalan jauh (remote operator) manusia mengambil alih tugas pemanduan dari lokasi lain.

Niat Nak Bantu, Tapi Terlanggar Tunggul Kayu!
Sebaik sahaja kawalan jauh diambil alih untuk mengundur dan mengeluarkan kenderaan dari jalan mati tersebut, kereta itu telah memasuki kawasan cerun berumput.
Menerusi kronologi yang dilaporkan sendiri oleh Tesla: “Ketika operator bantuan kawalan jauh cuba menterbalikkan kenderaan untuk menyelamatkannya, mereka telah terlanggar tunggul kayu yang tersembunyi.”
Kejadian berlaku pada kelajuan yang sangat rendah iaitu hanya 2 mph (sekitar 3.2 km/j) dengan kerosakan ringan pada bahagian bampar sahaja tanpa sebarang kecederaan. Paling menarik, ini merupakan kali pertama Tesla secara rasmi menandakan kod Driver/Operator Type sebagai “Remote (Commercial / Test)” dalam fail kerajaan mereka. Ini mengesahkan bahawa pemandu manusia di lokasi berasingan yang menjadi punca rempuhan tersebut, bukannya sistem autonomi AI.
Corak Berulang & Perbandingan Dengan Pesaing Utama (Waymo)
Apabila diperhatikan dengan lebih mendalam, ini adalah insiden ketiga di mana bantuan pengawal jauh Tesla berakhir dengan kemalangan! Sebelum ini pada Julai 2025 dan Januari 2026, kejadian serupa berlaku di mana pemandu kawalan jauh Tesla mengambil alih kenderaan yang tersangkut lalu menabrak pagar besi pada 8 mph dan penghadang pembinaan pada 9 mph.
Insiden ini sekali gus membuka mata pengkritik automotif mengenai kelemahan sistem pemanduan jarak jauh menerusi rangkaian selular yang mempunyai masalah latency (lengah masa) dan pandangan terhad.
Malah, pesaing utama Tesla iaitu Waymo secara terbuka menegaskan bahawa mereka tidak menggunakan kawalan jauh untuk memandu atau memusingkan stereng kenderaan secara terus. Operator Waymo hanya memberikan cadangan atau arahan laluan yang boleh diterima atau ditolak oleh AI kereta itu sendiri demi mengelakkan kesilapan manusia (human-error) dari jauh.
Apa yang lebih melucukan, Tesla hanya mengendalikan tiga (3) buah kenderaan ujian di Houston pada waktu tersebut—dan salah satu daripadanya berjaya dilanggar oleh pemandu mereka sendiri ke atas tunggul kayu!
