Kerusi ‘Zero-Gravity’ Dan Skrin 46.3 Inci! Chery JLR Dedah Kabin Mewah Freelander 8 Sebelum Pelancaran Rasmi!

Kabin 6-Tempat Duduk

Memasuki separuh kedua tahun 2026, Chery Jaguar Land Rover (Chery JLR) terus merancakkan persediaan pelancaran SUV elektrik lanjutan julat (EREV) terbaharu mereka, Freelander 8. Selepas melancarkan siri pameran jelajah (roadshow) merangkumi 30 buah bandar di China, pihak pengeluar kini berkongsi spesifikasi ruang dalamannya yang penuh kemewahan!

Satu demi satu perincian mula terbongkar, terutamanya fokus jenama ini terhadap keselesaan penumpang menerusi konfigurasi 2+2+2 (6 tempat duduk).

Antara fungsi utama yang diperkenalkan bagi barisan kerusi baris kedua ialah kerusi zero-gravity individu yang didatangkan lengkap dengan ciri pemanas, ventilasi udara, serta fungsi urutan bersepadu (integrated massage). Tidak ketinggalan, ia turut menyediakan meja dulang lipat (tray table) di belakang kerusi hadapan, skrin hiburan khas di bahagian bumbung, dan pemegang cawan pada tempat pemegang tangan baris ketiga.

Pengalaman Digital Skrin 8K & Sentuhan Kristal K9

Bagi bahagian papan pemuka utama (dashboard), pemandu dan penumpang di hadapan disajikan dengan paparan panorama gergasi berukuran 46.3 inci beresolusi 8K sepanjang 1.2 meter, bersama skrin kawalan pusat bersaiz 15.6 inci.

Menariknya, meskipun didominasi oleh skrin digital gergasi, Chery JLR tidak melupakan ciri sentuhan fizikal yang premium. Kabin ini turut dilengkapi butang fizikal kemasan Paris stud serta dwi-tombol terapung yang diperbuat daripada kristal optik gred K9 dengan 144 pemotongan faset!

Sistem infotainmen ini dikuasakan oleh cipset pemproses automotif flagship Qualcomm Snapdragon 8397. Gandingan cipset ini dilaporkan menawarkan peningkatan kuasa pemprosesan NPU sehingga 12 kali ganda berbanding platform Snapdragon 8295 sebelum ini. Bagi pemanduan pintar pula, ia disokong oleh perkakasan dan perisian Huawei Qiankun ADS bersama penderia LiDAR.

Rahsia Kuasa EREV 800V Di Sebalik Saiz Gergasi

Di sebalik ruang kabin mewah sepanjang 5,118 mm dan jarak roda 3,040 mm ini, apakah kuasanya yang membolehkan jentera seberat 3,495 kg ini memecut dengan lancar?

Keupayaan prestasi Freelander 8 dijana oleh platform EREV berasaskan seni bina 800V:

  • Enjin Extender: Enjin 1.5T turbocharged yang menghasilkan kuasa 115 kW (154 hp) yang bertindak khusus sebagai penjana kuasa bateri.
  • Pek Bateri: Bateri CATL Freevoy ternary NMC bersaiz 60.331 kWh.
  • Jarak EV Pure: Mampu berjalan secara mod elektrik sepenuhnya sejauh 221 km (ujian WLTC).
  • Pengecasan Pantas: Menyokong kuasa input pengecasan puncak sehingga 350 kW.
  • Keupayaan Tunda: Menyokong pakej tunda (towing) berkapasiti sehingga 2,000 kg.

Dengan gabungan keselesaan kerusi zero-gravity, pemproses Snapdragon 8397 gergasi, serta jarak pemanduan EREV 800V, Freelander 8 membuktikan bahawa SUV keluarga bersaiz besar tidak perlu mengorbankan prestasi mahupun kemewahan!

Leave a Reply