Pengakhiran Sebuah Era! Isuzu Serah Unit Terakhir Trak GIGA EXR Kepada Pelanggan di Bintulu

Pengakhiran Legasi Trak Giga di Borneo

Pasaran kenderaan komersial tempatan menyaksikan satu momen bersejarah apabila Isuzu Malaysia Sdn Bhd (IMSB), menerusi pengedar utamanya di Sarawak, KM Mobil Sdn Bhd, secara rasmi menyerahkan unit-unit baki terakhir bagi trak penunda GIGA EXR52UU (EXR420) Manual Transmission.

Majlis penyerahan unik ini berlangsung di bilik pameran KM Mobil ISUZU di Bintulu, melibatkan tiga syarikat logistik terkemuka: Bintulu Container Services Sdn Bhd, Perfect Drive Logistics Sdn Bhd, dan Reliable Status Sdn Bhd yang masing-masing menerima satu unit.

Penyerahan ini menandakan noktah penutup bagi siri Isuzu GIGA Prime yang telah berkhidmat dengan cemerlang dalam pelbagai sektor pembangunan dan pembinaan di seluruh Malaysia selama bertahun-tahun.

Kuasa dan Ketahanan yang Sukar Ditandingi

Siri Isuzu GIGA EXR sememangnya terkenal sebagai “raksasa penarik” bagi tugasan logistik jarak jauh, pengangkutan kargo, serta tangki cecair. Kombinasi enjin berkuasa tinggi, casis yang tegap, serta kecekapan bahan api menjadikannya pilihan utama pengusaha industri berat.

Ketua Pegawai Operasi IMSB, Masashi Nuijima, menegaskan bahawa siri GIGA memainkan peranan amat penting dalam pembangunan infrastruktur negara dan menjadi pemacu utama kejayaan jenama Isuzu di Malaysia. Manakala Pengurus Regional KM Mobil, Kenn Tan, turut merakamkan penghargaan atas kepercayaan berterusan para pelanggan di Sarawak terhadap keupayaan trak berkenaan.

Dominasi 12 Tahun & Persediaan Trenkuasa Baharu

Walaupun siri GIGA EXR kini rasmi menjadi lipatan sejarah, reputasi Isuzu sebagai raja trak Malaysia langsung tidak tergoyang. Pada tahun 2025 sahaja, Isuzu berjaya mencatatkan jualan kukuh melebihi 6,880 unit kenderaan komersial. Pencapaian ini sekaligus mempertahankan kedudukan Isuzu sebagai:

  • Jenama Trak Ringan No. 1: Selama 16 tahun berturut-turut di Malaysia.
  • Jenama Trak Keseluruhan No. 1: Selama 12 tahun berturut-turut di Malaysia.

Apa Langkah Isuzu Seterusnya?

Penamatan siri ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya pembuka tirai kepada era baharu. Berteraskan falsafah global ‘ISUZU ID’, IMSB kini bersiap sedia untuk memperkenalkan rangkaian trenkuasa (powertrain) terbaharu yang dilengkapi inovasi canggih. Langkah ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kecekapan operasi perniagaan pelanggan, malah menyokong agenda keneutralan karbon dan mobiliti hijau masa depan.

Leave a Reply