Penyerahan Kunci Pertama di Eropah
Era pemanduan kenderaan elektrik tanpa kebimbangan jarak (range anxiety) secara rasmi bermula apabila Volvo Cars mengumumkan permulaan penghantaran SUV elektrik terbaharunya, Volvo EX60, kepada pelanggan di Eropah. Pemilik pertama di Sweden kini sudahpun berada di belakang stereng jentera pilihan mereka ini, manakala pasaran global lain bakal menyusul tidak lama lagi.
Model 5-tempat duduk yang diperkenalkan awal tahun ini merupakan taruhan paling penting Volvo untuk menembusi segmen EV terbesar dunia, sekali gus memperluaskan pegangan pasaran elektrik mereka secara global.
Jarak Pemanduan Kelas Terbaik: Sehingga 810km!
Kelebihan paling mencuri tumpuan pada Volvo EX60 ialah keupayaan jarak pemanduannya yang memotong julat pesaing dalam segmen yang sama. Menerusi ujian piawaian WLTP, SUV ini ditawarkan dalam tiga pilihan trenkuasa utama:
- P12 AWD Electric: Varian tertinggi semua roda yang menawarkan jarak sehingga 810km dengan sekali cas!
- P10 AWD Electric: Varian pacuan semua roda dengan jarak sehingga 660km.
- P6 RWD Electric: Varian pacuan roda belakang dengan jarak pemanduan sehingga 611km.
Secara keseluruhan, EX60 ditawarkan dalam tujuh varian menarik bagi memenuhi pelbagai gaya hidup dan keperluan pemandu moden.

Pengecasan Ekstrem: Tambah 340km Dalam 10 Minit
Bukan sekadar jarak yang jauh, kelajuan pengecasan EX60 turut menetapkan standard baharu. Menggunakan pengecas pantas 400kW, bateri EX60 boleh dicaskan dari 10% hingga 80% dalam masa 16 minit sahaja.
Malah, berhentinya pemandu untuk secawan kopi selama 10 minit sudah memadai untuk menambah jarak pemanduan sehingga 340km! Ini membuktikan bahawa pemanduan jarak jauh dengan kenderaan elektrik kini setara dan sejajar dengan kebiasaan kenderaan enjin petrol.
Platform SPA3 & Teknologi ‘Mega Casting’
Satu lagi kebanggaan bagi jenama dari Sweden ini ialah Volvo EX60 merupakan kenderaan elektrik sepenuhnya (fully-electric) pertama yang direka, dibangunkan, dan dibina sepenuhnya di Sweden.
EX60 dibangunkan atas seni bina fleksibel terbaharu dipanggil SPA3. Platform ini memperkenalkan teknologi pembuatan canggih seperti mega casting serta struktur bateri cell-to-body yang menjadikan kenderaan lebih tegar, selamat, dan berkecekapan tinggi.
Dengan penetapan harga yang kompetitif—sebaris dengan model terlaris XC60 plug-in hybrid mereka—Volvo EX60 dilihat bakal menjadi pencabar terkuat bagi mana-mana SUV elektrik di pasaran ketika ini.
