Lebarkan Sayap EV Di ASEAN: PROTON Lantik Grand Motors Sebagai Pengedar Rasmi Proton e.MAS Di Brunei

SUBANG JAYA, 29 Jun 2026 – PROTON terus mengukuhkan strategi eksport serantau mereka dengan melantik Grand Motors Sdn Bhd sebagai pengedar sah kenderaan tenaga baharu (NEV), Proton e.MAS, di Brunei Darussalam.

Langkah ini sekali gus memperluas jejak antarabangsa bagi perniagaan kenderaan elektrik (EV) PROTON selepas pengenalan jenama Proton e.MAS di Singapura baru-baru ini. Ia juga mencerminkan cita-cita syarikat untuk membina kehadiran yang lebih kuat bagi produk automotif buatan Malaysia di pasaran negara jiran.

Peranan Grand Motors di Pasaran Brunei

Grand Motors, yang mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam industri automotif Brunei, akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap operasi jualan, pemasaran, penglibatan pelanggan, dan sokongan selepas jualan bagi kenderaan Proton e.MAS. Bagi menyokong ekosistem ini, sebuah pusat pameran dan pusat servis khas Proton e.MAS akan dibuka di negara berkenaan.

Syarikat pengedar tempatan tersebut menyatakan keyakinan mereka untuk mengulang kejayaan Proton e.MAS di Malaysia, malah menyasarkan untuk meletakkan e.MAS sebagai jenama EV nombor satu di Brunei Darussalam.

Sokong Visi Sifar Karbon Brunei 2035

Kemasukan rangkaian kenderaan elektrik Proton e.MAS ini dijangka akan menyumbang kepada pencapaian sasaran pelepasan karbon sifar bersih Brunei menjelang tahun 2035 melalui galakan penggunaan EV yang lebih meluas dalam ekosistem mobiliti rendah karbon.

Rangkaian Proton e.MAS yang bakal ditawarkan kepada pelanggan di Brunei akan membawakan proposisi kenderaan maju yang dibina berasaskan teknologi pintar, ketersambungan moden, kebolehgunaan harian yang praktikal, serta pakej keselamatan premium. Butiran lanjut mengenai barisan produk, pembukaan bilik pameran, dan aktiviti pelancaran pasaran akan diumumkan dalam masa terdekat.

Strategi Dua Pengedar di Brunei

Perlu dinyatakan bahawa pelantikan Grand Motors ini adalah khusus untuk portfolio kenderaan elektrik Proton e.MAS sahaja.

Sementara itu, PAD Motors Sdn Bhd akan kekal sebagai pengedar sah PROTON di Brunei bagi mengendalikan rangkaian kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE) sedia ada, termasuklah model Proton Saga, Proton S70, Proton X50, Proton X70, dan Proton X90.

Dengan adanya rakan kongsi berdedikasi yang menyokong kedua-dua segmen perniagaan ini, PROTON berada di kedudukan yang strategik untuk mengukuhkan penguasaan pasaran di Brunei sambil menawarkan pilihan mobiliti yang pelbagai mengikut perubahan keperluan pelanggan.

Leave a Reply