Hab Rangkaian Kuasa Tanjung Malim Pacu Transformasi Automotif PROTON, Sasar Capai Pengeluaran 400,000 Unit Menjelang 2028

TANJUNG MALIM, 23 Jun 2026 – Kilang pemasangan enjin PROTON di Tanjung Malim kini berkembang menjadi hab pembuatan rangkaian kuasa (powertrain) menyeluruh yang menyokong pengeluaran kenderaan generasi baharu.

Sejak mula beroperasi pada tahun 2022, fasiliti yang terletak di dalam Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) ini bukan lagi sekadar pusat pemasangan enjin biasa, malah berupaya mengeluarkan komponen bagi aplikasi enjin pembakaran dalaman (ICE), kenderaan elektrik hibrid (HEV), kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV), dan kenderaan elektrik (EV).

Langkah ini menyaksikan PROTON pasang pelbagai produk rangkaian kuasa termaju. Ini termasuklah enjin pengecas turbo dan aspirasi semula jadi, enjin hibrid khusus (DHE), transmisi klac berkembar (DCT), transmisi hibrid khusus (DHT), serta unit pemacu elektrik (EDU).

Setakat ini, syarikat automotif nasional tersebut merupakan satu-satunya pengeluar peralatan asli (OEM) di Malaysia yang memasang rangkaian kuasa sebegini luas di dalam negara.

Bagi menyokong pertumbuhan ini, PROTON telah melabur lebih RM121 juta untuk meluaskan keupayaan pengeluaran komponen enjin, transmisi, dan rangkaian kuasa elektrik. Kilang ini mempunyai kapasiti reka bentuk sedia ada sehingga 240,000 unit enjin setahun.

Syarikat menyasarkan untuk terus meningkatkan kapasiti pengeluaran enjin tersebut sehingga mencecah 400,000 unit setahun menjelang tahun 2028.

Selain membekalkan komponen untuk model keluaran Proton sendiri, hab pembuatan ini turut menyumbang kepada aktiviti eksport kumpulan. Komponen yang dipasang di Tanjung Malim kini mula dihantar untuk kegunaan produk-produk di bawah program kenderaan Geely bagi pasaran antarabangsa termasuk Vietnam, Mexico, dan Afrika Selatan.

Operasi kilang ini turut memacu agenda penyetempatan komponen automotif. Fasiliti berkenaan kini bekerjasama dengan 16 pembekal komponen, di mana separuh daripada jumlah tersebut merupakan syarikat tempatan. Pembangunan rangkaian vendor tempatan ini secara langsung membantu mengurangkan kebergantungan kepada komponen yang diimport dari luar negara.

Dari segi pembangunan tenaga kerja, kilang ini menggaji lebih 500 kakitangan dengan purata umur 35 tahun. Setakat ini, lebih 50 kakitangan tempatan telah dihantar untuk menjalani program latihan intensif di China bagi membawa pulang pengetahuan pembuatan termaju.

Proses pengeluaran di fasiliti ini juga dipertingkatkan melalui penggunaan robot kolaboratif (cobot), sistem pemeriksaan berasaskan kecerdasan buatan (AI), serta proses jaminan kualiti automasi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa menyatakan bahawa pelaburan strategik ini mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam memperkukuh ekosistem automotif negara. Keupayaan kilang ini memasang pelbagai teknologi rangkaian kuasa membuktikan kesediaan syarikat untuk memenuhi keperluan industri yang sedang beralih kepada mobiliti mampan.

Leave a Reply