BMW X5 Baharu Memasuki Fasa Ujian Akhir: Bakal Diperkenalkan dengan Lima Pilihan Rangkaian Kuasa

Model Sports Activity Vehicle (SAV) kegemaran ramai, BMW X5 kini sedang rancak menjalani fasa ujian penentukur terakhir di sekitar pangkalan pengeluarannya di BMW Group Plant Spartanburg, Amerika Syarikat.

Generasi kelima SUV mewah ini bakal melakar sejarah tersendiri sebagai model produksi pertama BMW yang akan diperkenalkan ke pasaran dengan menawarkan lima teknologi sistem pemacu berbeza untuk dipilih oleh para pelanggan, sekali gus memperluaskan portfolio penawarannya di peringkat global.

Kepelbagaian rangkaian kuasa ini merangkumi varian petrol dan diesel yang dilengkapi dengan teknologi hibrid ringan 48V, model hibrid plug-in (PHEV), serta buat julung kalinya, model elektrik sepenuhnya yang dikenali sebagai BMW iX5.

Bukan itu sahaja, BMW turut mengumumkan perancangan rapi untuk memperkenalkan kenderaan berkuasa hidrogen pertama yang dikeluarkan secara siri iaitu BMW iX5 Hydrogen menjelang tahun 2028.

Dalam sesi pandu uji pra-produksi baru-baru ini, wakil media antarabangsa telah berpeluang menguji prestasi BMW X5 40 xDrive yang menghasilkan kuasa 294 kW (400 hp), model hibrid plug-in BMW X5 50e xDrive berkuasa 360 kW (490 hp), serta model elektrik mercu BMW iX5 60 xDrive yang menjana kuasa mengagumkan sehinggga 425 kW (578 hp).

Model elektrik penuh BMW iX5 60 xDrive menampilkan teknologi BMW eDrive generasi keenam dengan seni bina bateri voltan tinggi 800V dan sel silinder baharu.

Dengan kapasiti tenaga boleh guna sebanyak 144 kWh bagi pasaran AS dan 141 kWh bagi pasaran Kesatuan Eropah (EU), ia merupakan bateri voltan tinggi terbesar yang pernah dimuatkan dalam kenderaan elektrik BMW setakat ini.

Sementara itu, varian hidrogen yang akan menyusul kemudian bakal menggunakan sistem tangki rata inovatif ‘Flat Storage’ yang merangkumi tujuh tangki tekanan tinggi komposit gentian karbon yang disusun selari di dalam kerangka logam yang kukuh, membolehkan penggunaan ruang kabin dioptimumkan sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.

Aspek dinamik pemanduan dipertingkatkan lagi menerusi pengenalan sistem ‘Heart of Joy’ yang dibangunkan sepenuhnya secara dalaman oleh BMW.

Unit kawalan berprestasi tinggi ini bertindak sepuluh kali lebih cepat berbanding sistem konvensional, membolehkan pelarasan mili-saat dibuat terhadap rangkaian kuasa, brek, stereng, dan pemulihan tenaga regeneratif.

“Sistem kawalan bersepadu ini bukan sahaja menawarkan kelincahan dan ketepatan pemanduan yang luar biasa, malah memastikan proses membrek regeneratif dalam model elektrik dan hidrogen berlaku dengan sangat lancar,” menurut kenyataan rasmi BMW Corporate Communications.

Dari segi keselamatan dan bantuan pemanduan, BMW X5 dilengkapi dengan sistem SAE Tahap 2 yang canggih yang diadaptasi daripada kluster teknologi Neue Klasse.

Melalui ‘BMW Symbiotic Drive’, interaksi antara pemandu dan sistem bantuan berlaku secara harmoni di mana pemandu masih boleh memotong atau membrek tanpa mematikan sistem keselamatan secara mengejut.

Mengenai falsafah keselamatan ini, BMW menjelaskan, “Matlamat utama kami bukanlah untuk mencapai tahap automasi yang tertinggi dalam semua keadaan, sebaliknya menyediakan pengalaman bantuan pemandu yang selamat, memberikan manfaat maksimum, dan sentiasa boleh dikawal pada setiap masa.”

Pelaburan agresif dalam teknologi masa hadapan ini disokong oleh prestasi kewangan yang sangat kukuh oleh BMW Group.

Pada tahun kewangan 2025, gergasi automotif Jerman ini berjaya menjual sebanyak 2.46 juta kenderaan penumpang dan lebih daripada 202,500 motosikal di seluruh dunia, mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak €10.2 bilion daripada jumlah pendapatan keseluruhan mencecah €133.5 bilion.

Dengan kekuatan tenaga kerja seramai 154,540 orang pekerja setakat akhir tahun 2025, BMW komited untuk terus memimpin segmen automotif premium berteraskan inovasi dan kelestarian jangka panjang.

Leave a Reply