Persaingan sengit antara dua gergasi automotif China, Geely dan BYD, kini nampaknya sudah beralih daripada perang harga kepada perang spesifikasi teknikal. Terbaru, Geely secara terbuka mempersoalkan tahap keselamatan teknologi pengecasan ultra-pantas (flash charging) yang dipromosikan oleh pesaingnya itu.
Walaupun perbalahan ini berlaku di China, impaknya sangat besar dan relevan buat pasaran Malaysia memandangkan kedua-dua jenama ini merupakan pemain utama yang sedang mencorakkan landskap kenderaan elektrik (EV) dan hibrid di negara kita.
Isu Utama: Suhu Bateri Lebih 65°C Bahaya Atau Tidak?
Menerusi satu hantaran di akaun WeChat rasminya, Geely mengeluarkan kenyataan tegas bertajuk: “Suhu melebihi 65°C? Tidak disyorkan!”

Geely memetik piawaian kebangsaan China (GB/T44500-2024) yang menyatakan suhu pengecasan maksimum untuk bateri jenis Litium Besi Fosfat (LFP) sepatutnya tidak melebihi 65°C demi keselamatan.
Mengikut Hukum Joule, peningkatan arus elektrik yang tinggi semasa pengecasan mega-watt akan menghasilkan haba lebih tinggi dan cepat. Geely sempat ‘payung’ teknologi mereka sendiri dengan mendakwa Bateri Emas Shendun (Shendun Golden Battery) mereka hanya mencatatkan suhu puncak 64°C sepanjang proses pengecasan pantas.
Walaupun Geely tidak menyebut nama sesiapa, semua orang tahu sindiran itu ditujukan khas kepada BYD. Sebelum ini, satu ujian penstriman langsung oleh blogger industri di China menunjukkan model pengecasan kilat BYD (Fang Cheng Bao Tai 3) mencatatkan suhu bateri melonjak sehingga 76.42°C apabila dicas dari 9% ke 97% dalam masa 9 minit sahaja.

Pihak pakar bateri lain (seperti Gotion High-tech) turut bersetuju dengan Geely, menyatakan cecair elektrolit (lithium hexafluorophosphate) akan mula mereput dengan pantas apabila suhu mencecah 70°C, sekali gus memendekkan jangka hayat bateri.
BYD Bidas Balik: “Jangan Terikat Dengan Nombor Statik”
BYD tidak berdiam diri. Ketua Pegawai Teknologi perniagaan bateri BYD, Sun Huajun, membidas dakwaan tersebut dan menyatakan bahawa industri tidak patut disekat oleh had nombor lama.
Menurutnya, reka bentuk simetri Bateri Blade (Blade Battery) generasi kedua BYD membolehkan arus mengalir keluar dari kedua-dua belah hujung, manakala permukaan atas dan bawah bertindak menyebarkan haba secara serentak untuk mengurangkan rintangan terma.
Bagi BYD, inovasi adalah tentang memecahkan sempadan lama, dan mereka yakin teknologi pengurusan terma mereka selamat walaupun suhu meningkat tinggi semasa pengecasan mega-watt.
Kenapa Isu Ini Sangat Relevan Bagi Pemandu EV di Malaysia?

Perang teknikal ini bukan sekadar hiburan industri di China, tetapi ia memberi kesan langsung kepada pengguna di Malaysia atas beberapa faktor kritikal:
1. Cuaca Khatulistiwa Malaysia yang Sedia Panas
Di China, ujian BYD tersebut dilakukan pada suhu ambien 25°C. Di Malaysia, suhu persekitaran harian kita dengan mudah boleh mencecah 32°C hingga 38°C. Pengecasan ultra-pantas (DC Fast Charging) di bawah cuaca terik Malaysia bermakna sistem pengurusan terma (thermal management) bateri kereta perlu bekerja dua kali ganda lebih keras. Isu sama ada had 65°C atau 70°C++ itu selamat akan menjadi kayu ukur penting bagi ketahanan jangka panjang bateri EV di negara kita.
2. Pertembungan Dua Kuasa Besar Di Jalan Raya Malaysia
Untuk rekod, Geely dan BYD adalah pencabar nombor satu dan dua dalam carta jualan runcit di China. Di Malaysia, pertembungan ini diterjemahkan secara langsung:
- Kem Geely: Menguasai pasaran menerusi pegangan saham dalam Proton (yang kini melancarkan sub-jenama EV, Proton e.MAS) serta penawaran model premium di bawah jenama Smart dan Zeekr. Model Proton e.MAS 7 PHEV dan siri EV akan datang pastinya akan menggunakan asas teknologi bateri Shendun milik Geely yang menekankan had keselamatan bawah 65°C ini.
- Kem BYD: Diwakili oleh Sime Darby Motors sebagai pengedar rasmi. BYD ketika ini merupakan raja EV di Malaysia dengan model popular seperti Atto 3, Dolphin, dan Seal. Malah, Atto 3 versi kemas kini baru sahaja diluncurkan di pasaran tempatan.
3. Pilihan Pengguna: Kelajuan vs Jangka Hayat Bateri
Isu ini meletakkan pembeli kereta elektrik di Malaysia dalam dilema pilihan: Adakah korang mahukan EV yang boleh dicas sepantas kilat (bawah 10 minit) untuk memudahkan perjalanan jauh tetapi berisiko mendedahkan bateri kepada suhu ekstrem, atau korang lebih rela memilih pengecasan yang sedikit perlahan tetapi suhunya terkawal demi memanjangkan jangka hayat sel bateri?
Apa yang pasti, ‘perang dingin’ terbaharu ini membuktikan bahawa pasaran EV kini sudah matang, dan pengguna di Malaysia perlu lebih peka dengan pecahan teknikal sains bateri sebelum menurunkan tandatangan di borang tempahan kereta!




