Teringin nak Hatchback mewah? boleh tengok Zeekr X yang menawarkan pelbagai ciri termasuk peti ais want terbina di tempat duduk belakang. Betul betul premium ni
Zeekr Intelligent Technology Malaysia secara rasmi telah membuka tempahan bagi model SUV elektrik urban premium dipertingkat, Zeekr X 2026, untuk pasaran tempatan dengan jangkaan harga jualan antara RM160,000 hingga RM180,000.
Model kemas kini yang membawakan slogan “Boldly Yours” ini menampilkan siri naik taraf merangkumi kedua-dua varian yang ditawarkan iaitu Premium dan Flagship melalui pengenalan reka bentuk dalaman baharu serta penambahan ciri standard yang lebih premium.

Pihak pengedar turut mengesahkan bahawa SUV elektrik kompak ini akan dipamerkan secara rasmi kepada umum dalam acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) yang dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 21 Jun ini di MITEC, Kuala Lumpur.
Bagi varian prestasi tinggi Zeekr X Flagship AWD, model ini kini menghamburkan kuasa mencecah 365kW dan tork setinggi 573Nm yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.7 saat sahaja.
Varian tertinggi ini turut mendapat kelebihan sistem pengecasan AC onboard pantas 22kW dengan tempoh pengecasan penuh sekitar 4 jam, keupayaan jarak gerak sejauh 445 km mengikut kitaran WLTP, serta dilengkapi fungsi urutan dan ventilasi pada tempat duduk hadapan.

Kehadirannya turut diperkemaskan dengan kemasan ruang kabin berwarna hitam bersama tali pinggang keledar merah, rim forged hitam bersaiz 20 inci, serta dua pilihan warna luaran eksklusif baharu iaitu Onyx Black dan Matte Khaki Green.
Sementara itu, varian Zeekr X Premium RWD pula menawarkan hamburan kuasa 250kW dan tork 373Nm, dipadankan dengan sistem pengecasan AC onboard 11kW yang mengambil masa 7.5 jam untuk pengecasan penuh dari kosong peratus.
Model ini menawarkan jarak gerak sejauh 415 km mengikut kitaran WLTP dan mengekalkan ciri keselesaan harian seperti paparan HUD, rim jenis paddle bersaiz 19 inci, serta kemasan dalaman dwi-warna putih-hitam.

Pilihan warna luaran eksklusif baharu, Porcelain Pink, turut diperkenalkan khusus untuk varian Premium ini bagi memberikan imej yang lebih ranggi dan berorientasikan gaya hidup urban.
Kedua-dua varian Zeekr X 2026 kini dilengkapi dengan siri naik taraf standard yang merangkumi pintu hadapan jenis automatik, peti sejuk terbina dalam, serta tiang-B interaktif pintar.

Ciri lain yang turut dikemas kini ialah roda stereng multi-fungsi yang kini dipadankan dengan butang bar sentuh, di samping peningkatan kapasiti ruang but belakang yang lebih praktikal sebanyak 404 liter untuk kegunaan harian.
Dari aspek keselamatan, SUV elektrik ini mengekalkan sistem perlindungan standard menerusi kombinasi tujuh beg udara bersama pakej sistem bantuan pemandu ADAS penuh yang disokong oleh lima kamera HD, lima radar gelombang milimeter, dan dua belas penderia ultrasonik di sekeliling kenderaan.





