
SUBANG JAYA – Hanya berselang tidak sampai 24 jam selepas BYD memuat naik hantaran acah (teaser) bagi model Atto 3 Evo, Proton e.MAS pantas menjawab dengan meluncurkan satu imej bayangan misteri.
Kemunculan varian terbaharu SUV elektrik nasional itu disahkan bakal membuat penampilan sulung rasmi kepada umum bersempena hari media Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026 pada 11 Jun ini.
Persoalannya, apakah varian baharu ini? Walaupun Proton masih mengunci rapat perincian rasmi, kita boleh membaca corak ini berdasarkan pasaran Australia dan Thailand.
Kembaran kepada e.MAS 7 iaitu Geely EX5 (Max+) di sana baru sahaja menerima naik taraf bateri LFP Aegis Short Blade berskala 68.39 kWh (berbanding 60.22 kWh pada model Premium sedia ada).
Meskipun varian flagship terbaharu ini (yang mungkin dinamakan Premium Plus) menjanjikan jarak gerak yang lebih jauh, analisis teknikal menunjukkan terdapat beberapa kompromi (trade-off) yang perlu difahami oleh bakal pembeli.
Analisis Teknikal: Jarak Bertambah, Prestasi Dikurangkan?
Penambahan kapasiti bateri ini boleh dilihat sebagai pisau dua mata. Berikut adalah perincian mekanikal yang perlu anda tahu:
- Penalti Berat 50 KG: Menambah kapasiti sel bateri bermakna berat keseluruhan kenderaan akan bertambah. Varian bateri besar ini membawa berat tambahan sekitar 50 kg.
- Pecutan Lebih Perlahan: Memandangkan unit motor elektrik hadapan kekal menghasilkan kuasa yang sama iaitu 218 PS (160 kW) dan tork 320 Nm, penambahan berat 50 kg tersebut menyebabkan pecutan 0-100 km/j menjadi sedikit perlahan iaitu 7.4 saat (berbanding 6.9 saat pada varian Premium sedia ada).
- Peningkatan Jarak yang ‘Marginal’: Di atas kertas, bateri baharu ini menawarkan jarak gerak sehingga 475 km (WLTP). Namun, angka itu adalah berdasarkan rim 18-inci. Sekiranya Proton mengekalkan rim 19-inci bagi varian tertinggi ini, jarak geraknya akan turun ke sekitar 450 km (WLTP)—iaitu sekadar peningkatan 40 km sahaja berbanding varian Premium semasa.
- Masa Mengecas DC Kekal Pantas: Sistem pengecasan pantas DC mengekalkan had maksimum 100 kW. Geely mendakwa tempoh mengecas dari 30% hingga 80% masih mampu mengekalkan rekod pantas 20 minit yang sama kerana perbezaan saiz bateri yang tidak terlalu mendadak. Bagi pengecasan AC (11 kW), masa yang diambil bertambah sedikit kepada 7 jam (berbanding 6.1 jam sebelum ini).
Kesan Domino: Berita Gembira Buat Bakal Pembeli Varian ‘Prime’ (Asas)!

Di sebalik kompromi prestasi pada varian tertinggi, langkah pengenalan bateri 68.39 kWh ini sebenarnya membawa impak domino yang sangat positif kepada penstrukturan semula harga dan varian e.MAS 7 secara keseluruhan.
Di pasaran China, Geely dikesan telah mula menghentikan (phased out) penggunaan pek bateri paling kecil bernilai 49.52 kWh. Sekiranya Proton mengikut langkah yang sama untuk pasaran Malaysia, ini bermakna:
- Varian asas e.MAS 7 Prime berpotensi besar untuk dinaik taraf menggunakan pek bateri pertengahan 60.22 kWh(pek bateri yang digunakan oleh model Premium sekarang).
- Jika ini berlaku, jarak gerak untuk varian paling murah e.MAS 7 akan melonjak drastik daripada 345 km kepada 430 km (WLTP) (kerana Prime menggunakan rim 18-inci yang lebih ringan dan cekap tenaga).
Ini bakal menjadikan e.MAS 7 Prime sebagai salah satu EV bajet paling berbaloi dengan jarak gerak melebihi 400 km di pasaran Malaysia!
Jangkaan Penambahan Ciri Mewah
Bagi membezakan varian Premium Plus ber-bateri besar ini dengan varian di bawahnya, Proton dijangka akan menyuntik beberapa kelengkapan premium baharu yang sebelum ini tiada pada model pasaran tempatan. Antaranya termasuk beg udara tengah hadapan (front centre airbag), tempat duduk penumpang hadapan jenis Ottoman (bersandaran kaki), serta pengenalan warna badan baharu Emerald Green yang sangat eksklusif.
Sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi dan pengumuman harga daripada PRO-NET di lantai KLIMS 2026 bermula Khamis ini. Portal Electronikar akan berada di lokasi untuk membawakan laporan pandu uji dan perincian penuh buat anda!
