Suzuki Jimny kini menerima peningkatan sistem bantuan pemandu (ADAS) yang lebih menyeluruh, manakala Naza Eastern Motors turut mengambil kesempatan memperkenalkan varian gaya hidup lasak Jimny Rhino Plus dan versi kosmetik sporty Fronx Sport untuk pasaran tempatan.



Langkah ini memperkukuhkan lagi penawaran produk mereka, di samping pengumuman struktur harga baharu yang lebih mampu milik bagi varian standard Suzuki Fronx yang kini bermula dari RM118,888 (atas jalan tanpa insurans).


Langkah mengekalkan tanda harga RM158,900 bagi Suzuki Jimny AllGrip Plus memberikan nilai tambah yang signifikan kepada pembeli, memandangkan SUV ikonik ini kini sarat dengan peningkatan ciri keselamatan aktif dan kemudahan harian.
Pakej keselamatan pemanduan kini dinaik taraf menerusi sistem Dual Sensor Brake Support II (DSBS II), Amaran/Pencegahan Keluar Lorong, Amaran Sempoyongan (Weaving Alert), Kamera Undur dengan Radar Gelombang Milimeter, dan Lampu Tinggi Automatik.

Keselesaan pemanduan harian turut dipertingkat melalui penambahan sensor parkir hadapan dan belakang dengan sonar jarak, cermin sisi elektrik dengan fungsi pemanas, kawalan jelajah adaptif (Adaptive Cruise Control), serta skrin perumah audio bersaiz 9-inci.
Tiada perubahan pada bahagian mekanikal di mana ia kekal digerakkan oleh enjin 1.5 liter aspirasi semula jadi (100hp/130Nm), kotak gear automatik 4-kelajuan, dan sistem pacuan empat roda AllGrip Pro.

Bagi meluaskan pilihan estetika, varian Suzuki Jimny Rhino Plus diperkenalkan pada harga RM173,900 dengan penggayaan luaran yang lebih agresif.
Model ini membezakan diri menerusi padanan rim aloi digilap 15-inci, penutup tayar ganti khas dengan logo Rhino, gril depan eksklusif, hiasan pelindung bawah bampar hadapan dan sisi, pelindung angin pintu, serta pengadang lumpur berwarna merah. Aspek trenkuasa dan mekanikal adalah serupa dengan varian AllGrip Plus.
Sementara itu, pasaran SUV kompak bandar menyaksikan pengenalan Suzuki Fronx Sport pada harga RM130,888 yang membawakan pakej aksesori luaran penuh. Ini termasuk pemasangan skirt depan dan sisi, spoiler belakang, kit bampar belakang, pelekat grafik badan, balutan bumbung dwi-ton, rim aloi 17-inci dengan tayar Continental UltraContact UC7, serta sistem perakam video digital (DVR) hadapan dan belakang.
Model hibrid ringan ini dipacu enjin 1.5 liter dengan sistem Integrated Starter-Generator (ISG) yang menjana 103PS dan tork 138Nm, dipadankan bersama transmisi automatik 6-kelajuan.

Sebagai perbandingan, ketika pertama kali diperkenalkan pada November 2025, Suzuki Fronx Hybrid dijual pada harga RM147,888 (atas jalan tanpa insurans). Pengumuman struktur harga baharu sebanyak RM118,888 bagi varian standard ini menyaksikan penurunan ketara sebanyak RM29,000.
Langkah agresif daripada Naza Eastern Motors ini secara tidak langsung meletakkan SUV kompak berkenaan dalam kedudukan yang jauh lebih kompetitif di pasaran Malaysia.
Semua model baharu ini dilindungi oleh jaminan kenderaan selama 3 tahun atau 100,000 km, dengan tambahan jaminan bateri sehingga 5 tahun atau 100,000 km khusus bagi model Fronx Sport, disokong oleh rangkaian 14 pusat jualan dan 13 pusat servis Suzuki di seluruh negara.







