Sime Darby Auto ConneXion-Ford (SDAC-Ford) telah melancarkan tiga varian baharu bagi model Ford Everest di acara Sime Motors MotorExpo 2026, sekali gus memperluaskan pilihan bagi pasaran SUV mewah dan gaya hidup di Malaysia. Pengenalan ini diterajui oleh varian mercu Everest Platinum 3.0L V6 Turbo Diesel, di samping kehadiran Everest Platinum 2.0L dan Everest Sport 2.0L dengan tawaran harga keseluruhan bermula daripada RM316,888.

Varian tertinggi Ford Everest Platinum 3.0L dikuasakan oleh enjin 3.0 liter 4V DOHC V6 turbo diesel yang menghasilkan kuasa sebanyak 250 PS dan tork setinggi 600 Nm.
Kuasa berkenaan dihantar ke sistem pacuan empat roda sepanjang masa menerusi kotak gear automatik 10-kelajuan dengan ciri eShifter, serta dibantu oleh ElectroMagnetic Transfer Case (EMTC) untuk pengagihan tork yang lebih cekap.
Dari segi estetika, varian ini dibezakan dengan gril rekaan khas, tulisan PLATINUM berwarna hitam pada hud, pintu hadapan serta but belakang, lampu utama Matrix LED, rim aloi 21-inci, skrin multimedia 12-inci dengan sistem Ford SYNC 4A, serta fungsi lipatan elektrik untuk tempat duduk barisan ketiga. Ia ditawarkan dalam pilihan warna Acacia Green, Meteor Grey dan Absolute Black.


Bagi varian Everest Platinum 2.0L, ia menggunakan enjin 2.0 liter turbo diesel berkuasa 170 PS dan tork 405 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik 10-kelajuan SelectShift serta sistem pacuan empat roda separa masa Electronic Shift-On-The-Fly (ESOF).
Varian ini turut dilengkapi gril premium, lampu Matrix LED, rim aloi 20-inci, dan skrin sentuh 12-inci dengan Ford SYNC 4A. Pilihan warna untuk model ini merangkumi Acacia Green, Meteor Grey, Arctic White dan Absolute Black.
Sementara itu, varian Everest Sport 2.0L berkongsi rangkaian kuasa enjin 2.0 liter turbo diesel (170 PS/405 Nm) dan sistem ESOF yang sama, namun kini dilengkapi dengan enam mod pemanduan termasuk mod Mud/Ruts dan Sand.
Penampilan luaran Everest Sport diserlahkan melalui kemasan hitam maskulin pada gril dan badan, rim 20-inci, serta rekaan ruang kabin dwi-ton yang lebih sporty. Warna yang disediakan untuk varian Sport adalah Command Grey, Lightning Blue, Arctic White dan Absolute Black.


Semua varian baharu ini sudah boleh ditempah di pengedar sah Ford di seluruh negara. Sempena pelancaran ini, pelanggan yang mengesahkan pembelian mana-mana varian Ford Everest sepanjang bulan Jun akan menikmati tawaran awal berupa servis percuma selama dua tahun.
Pembeli juga layak menyertai kempen Fuel Rush Bonanza yang berlangsung sehingga 30 Jun 2026 untuk berpeluang memenangi bekalan bahan api percuma selama setahun serta pelbagai hadiah gaya hidup yang lain.






