Langkah Gergasi Proton e.MAS: Labur RM40 Juta Bangunkan Platform Ketersambungan EV Tempatan Pertama!

SHAH ALAM, 26 Mei 2026 – Anak syarikat milik penuh PROTON Holdings Berhad, PRO-NET, terus memacu pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) negara melalui langkah proaktif melokalisasikan infrastruktur digital, perkhidmatan mobiliti pintar, dan platform pengecasannya. Melalui jenama sub-EV mereka, Proton e.MAS, pelaburan besar melebihi RM40 juta telah disalurkan bagi membangunkan perkhidmatan awan (cloud services) dan platform ketersambungan kenderaan (connected vehicle platform) tersendiri.

Langkah ini bukan sahaja selaras dengan Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), malah ia menandakan peralihan penting industri automotif tempatan yang kini melangkaui pembuatan fizikal kereta kepada penguasaan ekosistem digital.

Sistem Pintar Berjiwa Malaysia: Pertama Seumpamanya

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Mr. Zhang Qiang, menegaskan bahawa usaha lokalisasi ini bukan sekadar tentang di mana data itu disimpan, tetapi bagaimana perkhidmatan tersebut dibangunkan khusus untuk memenuhi tabiat pemanduan dan keperluan harian rakyat Malaysia.

“Proton e.MAS komited untuk membina ekosistem mobiliti ketersambungan lengkap yang direka khas di sekeliling pemandu, infrastruktur, dan keperluan harian di Malaysia,” jelas beliau.

Platform ketersambungan ini merupakan yang pertama dibangunkan secara tempatan dan kini sedang beroperasi melayani lebih 300,000 buah kenderaan (termasuk kenderaan Proton). Sistem ini menyokong pelbagai fungsi pintar seperti kawalan kenderaan jarak jauh, sistem infotainmen pintar, integrasi pengecasan, dan aplikasi Proton e.MAS. Setakat ini, platform ini telah berjaya memproses lebih daripada 8 juta permintaan kawalan jauh (remote control) daripada pengguna EV.

Ciri Unik Khusus Untuk Pemandu Tempatan

Berbeza dengan platform global yang sedia ada, Proton e.MAS menyuntik elemen tempatan yang sangat dekat dengan pengguna Malaysia, antaranya:

  • Sokongan Bahasa: Sistem navigasi dan antaramuka digital yang menyokong penuh Bahasa Malaysia.
  • Ciri Mesra Muslim: Integrasi aplikasi solat TheNoor serta kompas Kiblat terbina terus pada sistem kenderaan.
  • Kokpit Tempatan: Proton e.MAS merupakan satu-satunya jenama automotif setakat ini yang berjaya mencapai rantaian bekalan tempatan sepenuhnya bagi pembuatan perkakasan infotainmen (cockpit hardware) di Malaysia.

Sokong Kedaulatan Data & Ekonomi Digital Negara

Demi memastikan keselamatan data sensitif kenderaan dan pengguna dipelihara, keseluruhan pengorangan (deployment) sistem ini dihoskan sepenuhnya secara tempatan di pusat data Telekom Malaysia (TM). Ini merupakan satu pencapaian penting bagi menyokong hasrat kerajaan ke arah mewujudkan kedaulatan digital (digital sovereignty).

Selain itu, kolaborasi erat Proton e.MAS bersama gergasi teknologi, telekomunikasi, dan kewangan tempatan—seperti TM, Maxis, Celcom, Altel, TnG Digital, Maybank, Fasspay, SYOK, MYTV, dan TheNoor—turut memberi impak positif kepada ekonomi negara. Pelaburan ini dilaporkan telah menjana nilai tahunan melebihi RM10 juta kepada ekosistem telekomunikasi tempatan.

Akses Pengecasan Meluas Melalui Peta Digital Bersepadu

Bagi menyelesaikan masalah kerisauan jarak (range anxiety) dalam kalangan pemilik EV, Proton e.MAS turut melabur sebanyak RM4 juta untuk memperkukuh platform pengecasan mereka.

Melalui fungsi Integrated Live Charging Map, pengguna Proton e.MAS boleh mengakses lebih daripada 4,300 mata pengecasan di seluruh negara. Peta bersepadu ini merangkumi hampir 90% daripada keseluruhan rangkaian pengecasan awam di Malaysia hasil kerjasama dengan pelbagai Pengendali Titik Pengecasan (CPO) tempatan seperti ChargeSini dan lain-lain. Setakat ini, platform tersebut telah merekodkan kira-kira 11,000 pengguna aktif dengan jumlah volum pengecasan mencecah 790,000 kWh.

Dengan gabungan teknologi termaju, infrastruktur digital yang selamat, serta ekosistem pengecasan yang meluas, Proton e.MAS jelas bersedia untuk meletakkan tanda aras baharu dalam pemilikan kenderaan elektrik yang praktikal dan mesra pengguna di Malaysia.

Leave a comment