Kuala Lumpur, 21 Mei 2026 – Royal Enfield secara rasmi melancarkan model Goan Classic 350 di pasaran Malaysia. Motosikal bergaya bobber ini membawakan reka bentuk unik yang diispirasikan daripada budaya motosikal bohemian Goa sekitar era 1970-an dan 1980-an.

Diimport dan diedarkan oleh Didi Group selaku pengedar tunggal jenama itu di Malaysia, jentera retro ini disasarkan kepada penunggang yang mementingkan kebebasan ekspresi diri dan gaya tunggangan santai.
Model terbaharu ini mengekalkan DNA bobber tulen melalui penampilan hendal jenis ‘mid-ape’, reka bentuk pelana tunggal terapung yang boleh ditukar kepada dwi-pelana, fender dipotong pendek, serta penggunaan tayar dinding putih (whitewall) bersama rim jejari aluminium.
Walaupun tampil dengan estetik klasik, Goan Classic 350 dilengkapi dengan ciri moden termasuk sistem lampu LED, kluster instrumen digital dengan penunjuk kedudukan gear, penderia navigasi Tripper, serta palam pengecas USB Jenis-C.
Komponen mekanikalnya pula disokong oleh kerangka ‘twin downtube spine’, garpu depan teleskopik 41mm, penyerap hentak berkembar di bahagian belakang, serta sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS dwi-saluran.

Nadi penggerak motosikal ini menggunakan enjin silinder tunggal 349cc sejukan udara-minyak yang dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan. Enjin tersebut berupaya menghasilkan kuasa maksimum 20.2 bhp pada 6,100 rpm dan tork puncak 27 Nm pada 4,000 rpm. Bagi pasaran Malaysia, pengedar menawarkan jaminan perbatuan tanpa had untuk semua unit.
Royal Enfield Goan Classic 350 ditawarkan dalam empat pilihan warna dengan harga bermula RM25,200 bagi varian Shack Black dan Purple Haze, manakala varian Trip Teal dan Rave Red dijual pada harga RM25,500.
Sempena ketibaan model baharu ini, pihak Royal Enfield Malaysia turut menganjurkan sesi Rumah Terbuka Goan Classic secara serentak di bilik pameran seluruh negara termasuk di Petaling Jaya, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru pada 23 hingga 24 Mei, disusuli di Batu Caves pada 29 hingga 30 Mei ini bagi memberi peluang kepada peminat melihat jentera tersebut secara lebih dekat.



