Subang Jaya, 22 Mei 2026 – Ramai mungkin menaganggap bahawa angka jualan jenama tempatan Proton, dipacu oleh harga kompetitif namun kajian pelanggan pasca-pelancaran terbaharu mendedahkan Proton X50 terus memantapkan kedudukannya sebagai antara SUV paling berpengaruh di Malaysia berikutan kecenderungan pembeli terhadap gabungan teknologi premium, prestasi dinamik, ciri keselamatan pintar dan akhir sekali, harga mampu milik.
Kajian yang dijalankan dalam kalangan pemilik model serba baharu Proton X50 yang dilancarkan pada Julai 2025 itu menunjukkan anjakan trend pengguna tempatan dalam pasaran SUV segmen-B yang kini lebih mengutamakan reka bentuk, pengalaman pemanduan, teknologi canggih dan aspek keselamatan berbanding faktor harga semata-mata.
Majoriti pemilik Proton X50 terdiri daripada golongan profesional dan dewasa bekerja berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an yang mempunyai keluarga muda, dengan purata pendapatan isi rumah bulanan sekitar RM8,000.
Pendorong utama pembelian yang direkodkan adalah daya saing harga dan nilai untuk wang, diikuti rapat oleh prestasi pemanduan, pecutan, kualiti dalaman premium serta pengendalian yang meyakinkan. Selain itu, pembeli turut memberi pujian terhadap responsif enjin 1.5-liter 4-silinder i-GT yang memberikan keyakinan ketika memotong dan memandu di lebuh raya.
Data kajian mendapati 21 peratus responden merupakan pembeli kereta pertama, manakala sebahagian besar adalah pemilik sedia ada yang menaik taraf daripada model hatchback dan sedan, termasuk model jenama nasional popular sebelum ini.
Selain keupayaan model ini bersaing terus dengan tawaran jenama Jepun dan China, pembeli turut memilih Proton X50 kerana faktor sokongan rangkaian pengedar Proton yang komprehensif melalui pusat sehenti jualan, servis dan alat ganti (3S/4S) di seluruh negara.
Analisis varian menunjukkan profil pelanggan yang berbeza mengikut gaya hidup, di mana pembeli varian Executive cenderung lebih muda dan mementingkan nilai praktikal serta kemampuan.
Pembeli varian Premium didapati lebih matang dan mengutamakan keselamatan melalui ciri sistem bantuan pemandu advanced seperti Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Kawalan Melayar Adaptif (ACC) dengan fungsi ‘stop and go’, serta Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKA).
Sementara itu, varian Flagship menarik minat isi rumah berpendapatan lebih tinggi yang mahukan pakej pemilikan lengkap merangkumi keselesaan premium dan sistem keselamatan pintar.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa menyatakan hasil kajian ini mengesahkan strategi syarikat untuk mendemokrasikan teknologi automotif canggih buat pengguna Malaysia.
Tambah beliau, persaingan secara langsung dengan jenama bukan nasional mencerminkan peningkatan keyakinan pasaran terhadap produk, teknologi dan keseluruhan pengalaman pemilikan yang ditawarkan oleh Proton.



