Usaha MITI kembangkan rangkaian caj berjaya? Era Pengecasan Pantas Bermula: Denza Z9GT Terima Kemas Kini OTA Menjelang Pelancaran Rasmi BYD Flash Charge

Landskap penerimaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia kini semakin pantas berkembang, didorong bukan sahaja oleh pertambahan varian kenderaan baharu tetapi juga kemajuan kritikal pada infrastruktur pengecasan tempatan. Antara cabaran utama yang sering membayangi pengguna EV adalah kebimbangan jarak pemanduan (range anxiety) serta masa menunggu yang lama di stesen pengecasan lebuh raya. Bagaimanapun, evolusi pantas stesen pengecasan pantas DC (DCFC) dan teknologi voltan tinggi di Malaysia kini mula mengubah persepsi tersebut, membolehkan pengguna menikmati pengalaman pemanduan jarak jauh yang lebih lancar.

Menyusuli momentum transformasi ini, DENZA, jenama kenderaan mewah di bawah naungan BYD Malaysia, mengambil langkah ke hadapan dengan mengumumkan pelancaran kemas kini perisian Over-The-Air (OTA) yang menyeluruh untuk model mewah DENZA Z9GT.

Persiapan Menjelang Era “Flash Charge”

Kemas kini perisian yang mula dilepaskan hari ini bertindak sebagai persediaan penting menjelang pelancaran rasmi teknologi BYD Flash Charge di Malaysia yang dijadualkan pada 19 November 2026.

Melalui pengoptimuman perisian berterusan ini, pemilik Z9GT kini dilengkapi sepenuhnya untuk memanfaatkan ekosistem pengecasan ultra-pantas jen tersebut sebaik sahaja ia mula beroperasi sepenuhnya. Antara fokus utama kemas kini ini merangkumi:

  • Pengurusan Tenaga Pintar: Naik taraf perisian tenaga Z9GT untuk menyokong seni bina BYD Flash Chargegenerasi baharu, membolehkan penghantaran kuasa yang lebih pantas serta pengawalan terma yang dioptimumkan ketika pengecasan berkelajuan tinggi.
  • Sistem Bantuan Pemanduan Lanjutan (ADAS): Memperhalusi profil pecutan dan nyahpecutan menerusi kemas kini pada Intelligent Cruise Control dan pengecaman tanda trafik (Traffic Sign Recognition), di samping kestabilan bantuan parkir automatik yang lebih cekap di ruang sempit.

Proses Naik Taraf Tanpa Kerenyahan

Bermula hari ini, para pemilik DENZA Z9GT di Malaysia akan menerima notifikasi automatik terus pada paparan skrin tengah kenderaan masing-masing. Proses pemasangan OTA ini mengambil masa kira-kira dua jam dan boleh dilakukan dengan mudah apabila kenderaan diletakkan di tempat letak kereta dan tidak digunakan.

Langkah proaktif menerusi kemas kini perisian ini bukan sahaja membuktikan komitmen sokongan jangka panjang DENZA terhadap kenderaan pemiliknya, malah menandakan satu lagi tonggak penting dalam mempercepatkan peralihan mobiliti elektrik mewah di Malaysia menjelang pelancaran infrastruktur Flash Charge akhir bulan ini.

Leave a Reply