Tanpa Perlu Cas Luar: Proton Rasmi Kenal Nadi Hibrid i-HEV Untuk Pasran Malaysia dan AMA02 dijangka model pertama

Selepas pertama kali diperkenalkan kepada umum menerusi pameran teknologi di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) dan Ekspo Teknologi Automotif Global (GATE) awal tahun ini, pengeluar nasional PROTON akhirnya secara rasmi mengumumkan nama teknologi hibrid terbaharunya sebagai sistem hibrid pintar i-HEV. Sistem inovatif ini bakal membuat kemunculan sulung menerusi model baharu syarikat yang membawa kod pembangunan AMA 02.

Pengenalan ini memperlihatkan komitmen berterusan Proton dalam menyediakan pilihan mobiliti yang praktikal buat pengguna tempatan, di mana pemandu dapat menikmati keheningan serta respons pemanduan elektrik tanpa perlu berdepan kerumitan mencari stesen pengecasan luaran.

Kejuruteraan Dihasilkan Khusus Untuk Kecekapan Maksimum

Nadi utama kepada sistem i-HEV ini ialah enjin petrol aspirasi natural Dedicated Hybrid Engine (DHE) 1.5-liter yang beroperasi menggunakan kitaran Atkinson.

  • Kecekapan Terma Tinggi: Enjin ini mampu menghasilkan 111 PS dan tork 136 Nm dengan tahap kecekapan terma mencapai 46.5%.
  • Operasi Kitaran Atkinson: Melalui tetapan masa injapambilan yang teliti, nisbah pengembangan berkesan adalah lebih tinggi berbanding nisbah mampatan, membolehkan lebih banyak tenaga diekstrak daripada setiap titik bahan api.
  • Sokongan Elektrik Pintar: Meskipun kitaran Atkinson lazimnya mengorbankan sedikit kuasa enjin, motor elektrik bertindak pantas memberikan sokongan kuasa ketika mula bergerak atau memotong.

Koordinasi Pintar Dwi-Motor dan Transmisi DHT

Sistem i-HEV ini dipadankan dengan Transmisi Hibrid Khusus (Dedicated Hybrid Transmission – DHT) yang mengintegrasikan dua motor elektrik dikenali sebagai P1 dan P3.

  • Motor P1 berfungsi menghidupkan enjin serta menjana elektrik, manakala motor pemacu utama P3 menyalurkan kuasa sehingga 163 PS dan tork 220 Nm untuk pecutan yang lebih lancar.
  • Sebuah Modul Kawalan Kuasa (Power Control Modul – PCM) secara automatik menyelaraskan empat mod pemanduan—merangkumi EV Mode, Series Mode, Parallel Mode, dan Direct Drive Mode—mengikut kesesuaian kelajuan serta permintaan kuasa tanpa memerlukan campur tangan manual daripada pemandu.

Kehadiran bateri berkapasiti 1.38 kWh dengan sistem brek regeneratif bermakna kenderaan ini tidak memerlukan pengecasan luaran, menjadikannya pilihan ideal untuk mengharungi kesesakan lalulintas harian tanpa masalah range anxiety. Lebih membanggakan, komponen teras seperti Transmisi Hibrid (DHT) dan Unit Pemanduan Elektrik (EDU) ini turut dipasang secara lokal di kilang Tanjong Malim, memperkukuh rantaian bekalan serta kepakaran teknologi elektrifikasi di Malaysia.

Leave a Reply