KUALA LUMPUR — GWM Malaysia melakar satu lagi pencapaian penting dalam landskap automotif serantau apabila berjaya mengeksport lebih 1,100 unit kenderaan pemasangan tempatan (CKD) model MPV mewah GWM WEY G9 ke pasaran Thailand dan Indonesia. Kejayaan eksport serantau ini bergerak seiring dengan pencapaian kumulatif pengeluaran tempatan GWM di Malaysia yang kini telah melepasi 10,000 unit sejak operasi pemasangan CKD bermula pada Oktober 2024.

Pencapaian ini bukan sahaja menandakan evolusi pantas GWM daripada sekadar membekalkan pasaran domestik kepada memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pengeluaran dan eksport strategik kenderaan tenaga baharu (NEV) di rantau ASEAN.
Perjalanan Pemasangan CKD GWM di Malaysia
Program pemasangan tempatan (CKD) GWM di Malaysia bermula pada Oktober 2024 menerusi kerjasama strategik bersama EP Manufacturing Berhad (EPMB) di kilang mereka di Melaka, dimulakan dengan pengenalan model SUV hibrid GWM HAVAL H6 HEV. Barisan pengeluaran tempatan ini kemudiannya berkembang pesat dengan pemasangan model MPV flagship mewah GWM WEY G9 Hi4 PHEV pada tahun 2025, diikuti oleh pengenalan varian terbaharu GWM WEY G9 Hi4 HEV.

Pencapaian melepasi 10,000 unit pengeluaran tempatan ini mencerminkan komitmen jangka panjang GWM dalam memindahkan teknologi global, membangunkan kepakaran tenaga kerja tempatan, serta merancakkan rantaian bekalan automotif dalam negara.
Dasar CKD MITI & Pengukuhan Ekosistem Automotif Negara
Langkah strategik GWM ini adalah selari dengan hala tuju dasar Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di bawah Dasar Automotif Negara (NAP) yang mempromosikan Malaysia sebagai hab serantau bagi Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV).
Dasar pengeluaran CKD yang disokong oleh insentif cukai menarik serta garis panduan kandungan tempatan yang progresif membolehkan jenama global seperti GWM menjadikan Malaysia sebagai pangkalan pembuatan bernilai tinggi.Pendekatan ini bukan sahaja menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang besar, malah membantu membina kapasiti jurutera tempatan dalam teknologi elektrifikasi termaju, pemindahan pengetahuan teknikal, serta memperkasakan vendor komponen tempatan untuk menembusi rantaian bekalan global.
Prestasi Industri Automotif & Eksport Malaysia

Kejayaan GWM mengeksport lebih 1,100 unit WEY G9 ke pasaran serantau yang kompetitif seperti Thailand dan Indonesia turut menyumbang kepada momentum pertumbuhan prestasi eksport industri automotif Malaysia.
Berdasarkan data industri semasa, pasaran automotif Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan positif merentasi segmen pemasangan tempatan dan eksport kenderaan CBU/CKD. Dengan jumlah Jumlah Tota Industri (TIV) yang terus kekal kukuh, kemampuan pengeluar tempatan menembusi pasaran luar membuktikan bahawa standard kualiti, disiplin pembuatan, serta piawaian kejuruteraan di kilang pemasangan Malaysia kini berada pada tahap antarabangsa yang mampu bersaing di peringkat global.
