MODENAS Z15GT Cipta Kemenangan Sulung Pro-Am di Sepang, Hanya Lapan Hari Selepas Podium Pertama

SHAH ALAM — Jentera MODENAS Z15GT melakar sejarah gemilang dalam arena sukan permotoran negara apabila merangkul kemenangan sulung dalam PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup di Pusingan 7 Kejohanan Cub Prix Malaysia MAM PETRONAS 2026, yang berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (Litar Selatan) pada 18 Oktober.

Kejayaan ini dijayakan oleh pelumba pasukan Raynorton Motorsport, Md Firdaus Mohd Hamdan (#98), hanya selang lapan hari selepas beliau meraih podium pertama jentera itu di Litar Go-Kart Antarabangsa LYL pada 10 Oktober lalu. Bermula di petak ketujuh, Firdaus menamatkan perlumbaan enam pusingan itu dengan catatan masa keseluruhan 8 minit 22.674 saat. Kejayaan itu diikuti rakan sepasukan Md Haziq Rosmaza (#15) dan Md Harith Rosmaza (#5), meletakkan tiga jentera MODENAS dalam kelompok lapan pelumba terbaik kategori Pro-Am.

“Podium pertama di LYL sudah pun menjadi detik istimewa buat kami. Untuk susulinya dengan kemenangan di Sepang adalah sesuatu yang tidak saya sangka-sangka,” ujar Md Firdaus.

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan turut memuji pencapaian tersebut, menyatakan bahawa kejayaan ini membuktikan keazaman dan keupayaan komuniti perlumbaan tempatan dalam memperkasakan jentera pembangunan Malaysia.

Leave a Reply